rap

'Siapa sangka ini yang terakhir'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

‘SIAPA sangka ini yang terakhir’. Demikian judul video yang memaparkan penyanyi kumpulan rock Melissa, Mohd Radzi Abdul Hamid, 52, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Radzi rebah di atas pentas sebelum meninggal dunia ketika membuat persembahan bersama Melissa di program Hiburan Santai Seniman di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur, 11.15 malam semalam.

Dalam video berdurasi 12 saat itu menyaksikan Radzi yang baru hendak memulakan persembahan tiba-tiba rebah dalam keadaan seolah-olah sedang ‘bersujud’.

Allahyarham kemudian dibantu beberapa individu dan terus dibawa ke bilik persalinan untuk diberikan rawatan kecemasan.

Penyanyi kumpulan rock BPR, Joey, 55, yang memuat naik video itu di Facebook berkata, BPR sepatutnya turut mengadakan persembahan bersama Melissa tetapi dia menolaknya kerana beberapa anggota BPR mengalami masalah kesihatan.

“Sepatutnya BPR yang main bersama Melissa. Tapi aku cakap aku tak mahu bertanggung jawab kalau mana-mana ahli BPR tersungkur masa konsert. Memandangkan ada yang mempunyai rekod masuk ICU (Unit Rawatan Rapi) banyak kali,” tulisnya di Facebook.

Joey berkata, untuk bermain sebanyak lapan lagu berat dan rancak adalah agak sukar buat penyanyi dan pemuzik berusia seperti mereka.

“Nak tunggu dari siang sampai malam pun agak berat. Nak tunggu giliran terakhir selepas semua artis lain pun agak meletihkan. Apatah lagi aku tengok Radzi sudah mengadakan latihan berhari-hari. Kami bukan muda macam dulu lagi.

“Ustaz Radzi ini jauh lebih muda dari aku. Namun, Allah lebih menyayangi beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau,” katanya.

Dalam program itu, Radzi adalah artis terakhir mengadakan persembahan bersama rakannya dalam Melissa.

Dia sepatutnya menyanyikan beberapa lagu dengan lagu terakhir ialah lagu popular mereka iaitu Cinta Untuk Nabila.

Radzi yang mula mencipta nama bersama Melissa pada awal 1990-an turut popular dengan lagu seperti Lambaian Sayonara, Wajahmu Di Mataku dan Memikat Cahaya bersama kumpulan itu.

Berita berkaitan

Ustaz Radzi meninggal dunia

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 12:07pm
d