rap

Tak pernah serik

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENERBIT drama Fadzil Teh mengakui tidak pernah serik mengambil pelakon kontroversi Fathia Latiff berlakon di bawah produksinya.

Fadzil berkata, Fathia akan muncul dalam telefilem Kipas Sebelum Mati yang bakal ditayangkan bulan depan di saluran Astro Citra.

"Dari dulu lagi saya dan produksi tidak serik menawarkan Fathia berlakon. Walau apa pun kontroversi yang timbul membabitkan dirinya, saya sentiasa ingin memberikannya peluang.

"Saya mahu dia bernafas semula dan kembali gah di dalam industri hiburan seperti dulu. Sayang bakat lakonan yang ada pada dirinya jika tidak dimanfaatkan sebaiknya," katanya kepada Harian Metro.

Fadzil berharap kemunculan Fathia itu dapat membuka mata stesen televisyen tanah air dan penerbit untuk memberi peluang sekali lagi untuknya.

"Saya berharap semoga stesen TV dapat membuka kembali ruang yang lebih besar kepada artis yang berbakat ini.

"Sama sama kita buang yang keruh dan ambil yang jernih. Lupakan apa yang berlaku. Semua manusia tidak terlepas melakukan kesilapan dan dosa," katanya selaku pemilik Zeel Production Sdn Bhd.

Selain Fathia, telefilem arahan Azmi Hatta itu turut dibintangi pelakon Nad Zainal, Aman Aziz, Bob Yusof, Dottie dan ramai lagi.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 6:23pm
d