rap

Tiada niat dedah aurat [METROTV]

Oleh Najiy Jefri

PELAKON dan pengacara, Jaa Suzuran mengakui tidak berniat untuk mendedahkan aurat ketika memuat naik video dirinya yang tidak mengenakan seluar.

Menerusi video itu, Jaa dikecam teruk netizen apabila hanya mengenakan ‘briefs’ (seluar dalam) dan baju berkolar.

Jaa berkata, dia tidak menjangka penampilannya itu mendapat kecaman netizen kerana apa yang ingin dikongsikan adalah telatah Mak Yong yang digelar artis di Kampung Ulu Chemor, Perak itu.

“Saya memuat naik video itu kerana ingin berkongsi lawak Mak Yong yang mahu menyapu ubat di kaki saya.

“Saya akui ketika itu saya tidak menutup aurat. Tetapi tak sangka pula saya teruk dikecam. Sebelum ini pun, saya pernah memuat naik gambar berseluar pendek ketika bermain bola tapi tak dikecam pula,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program realiti The Amazing Sunway City Challenge, hari ini.

Menurut Jaa, selepas ini dia akan lebih berhati-hati dan menjaga sensitiviti masyarakat Melayu dan orang beragama Islam.

“Imej saya daripada dulu sampai sekarang masih sama. Cuma selepas ini saya mungkin perlu belajar cara untuk menjaga adab dan tata susila ketika memuat naik video.

“Ini kerana sepanjang lapan tahun saya aktif membuat video di YouTube, saya bebas melakukan apa saja tapi kali ini saya perlu menjaga sensitiviti semua pihak,”katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 5:21pm
d