rap

Ella nyanyi lagu-lagu Asli

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Ella, bakal menampilkan kelainan dalam konsert Ella Unplugged in Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 29, 30 dan 31 Mac 2019 dengan menampilkan segmen lagu-lagu Melayu Asli.

Menurut Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 52, dia sendiri muncul dengan idea itu kerana ingin menghargai genre muzik berkenaan.

“Walaupun saya penyanyi lagu-lagu rock tapi saya nak generasi muda menghargai muzik lagu-lagu Asli.

“Sejujurnya, lagu Asli adalah karya unik yang sentiasa enak didengar dan dimainkan,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Ella, dia juga kini sedang membuat kajian mengenai muzik tradisional dan lagu Asli.

“Saya sendiri belajar dan mencari pelbagai maklumat mengenai lagu Asli. Antaranya, saya dapat tahu bahawa ada sekitar 18 jenis Zapin, namun yang kita sering dengar dan lihat hanyalah asas saja,” katanya.

Dalam konsert berdurasi satu jam 30 minit di Istana Budaya itu, Ella akan mempersembahkan 18 hingga 20 lagu termasuk tiga hingga lima lagu Asli.

Sebelum ini, Ella juga pernah menghasilkan lagu berentak tradisional berjudul Jauh di Mata.

Sebahagian daripada hasil penjualan tiket konsert itu akan disalurkan kepada Yayasan Autisme Malaysia.

Tiket konsert Ella Unplugged in Kuala Lumpur akan mula dijual pada 2 Januari 2019.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 8:47pm
d