rap

Bina semangat baru

Oleh Norhayati Nordin

KERJAYA pelakon Nadzmi Adhwa, 26, pernah terjejas seketika selepas terpalit insiden hitam yang mencemarkan namanya sekitar hujung tahun lalu.

Mengakui sukar untuk bangkit semula, sokongan ibu bapa, keluarga dan teman baik, Ardell Aryana banyak membantu dia membina semangat baru.

“Ibu bapa dan Ardell selalu ingatkan saya untuk muhasabah diri kerana apa yang berlaku ujian dan peringatan daripada Allah.

“Mungkin ada salah silap yang saya lakukan dan Allah memberi peringatan segera supaya tidak tersasar lebih jauh.

“Saya reda dengan ujian itu dan sematkan dalam diri untuk tidak lagi mengingatinya. Bagi saya kini kena fokus hala tuju baru,” katanya.

Berbicara mengenai karier lakonan, Nadzmi berkata selepas sepi seketika peluang mula terbuka luas.

“Kini saya terbabit dengan penggambaran filem seram dan syukur dapat bawa watak utama.

“Saya sangat menghargai peluang ini dan tidak sangka masih ada pihak produksi mempercayai bakat saya,” katanya.

Belum boleh berkongsi mengenai filem itu, Nadzmi berkata dia bergandingan dengan ChaCha Maembong.

Beralih bidang nyanyian, Nadzmi muncul dengan single Wanitaku hasil ciptaan sepenuhnya komposer Aiman Sidek.

Berkolaborasi dengan Ardell, video muzik rasmi rasmi single Wanitaku yang dimuat naik di YouTube sudah mencatat 1.6 juta tontonan.

Mengulas perkara itu, Nazmi berkata selain aktif berlakon dia serius mahu men gukuhkan nama sebagai penyanyi.

“Saya minat menyanyi dan tak sangka single Wanitaku nampaknya berjaya menarik perhatian pendengar muzik tanah air.

“Apapun, inilah namanya rezeki. Saya berterima kasih kepada mereka yang sudah menonton video muzik single ini.

“Terima kasih juga kepada mereka yang menulis komen untuk single ini. Segala doa yang baik-baik itu saya hargai,” kata Nadzmi.

Ujar pelakon drama Cinta Hati Batu di TV3 itu, single Wanitaku ditujukan khas buat golongan hawa kerana di sebalik kejayaan setiap lelaki pasti ada wanita yang memberi dorongan di belakangnya.

Ditanya mengenai pengurusan jadual kerja, Nadzmi berkata sekarang dia melakukannya sendiri kerana lebih mudah.

“Sekarang, saya berlakon, menyanyi dan mengacara. Alhamdulillah, rezeki tak putus malah saya juga sibuk berniaga.

“Tak dinafikan, jadual kerja agak padat tetapi saya seronok. Ini masanya saya kena fokus bina karier.

“Saya juga seronok menguruskan jadual kerja sendiri kerana lebih mudah. Rasanya, saya tidak perlu bernaung dengan mana-mana syarikat pengurusan,” katanya

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 7:51pm
d