rap

Daniel Fong

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KEJAYAAN pelakon Alvin Chong dan Sean Lee menembusi pasaran Melayu menjadi inspirasi buat pelakon kacak Daniel Fong untuk mencuba nasib.

Pembabitan awal dalam telefilem Whishlist Raya dan drama Nafas siaran ntv7 baru-baru ini membuka ruang untuk Daniel, 25, atau nama penuhnya Daniel Fong Weng Chuan terus mengorak langkah.

“Sebelum ini memang ramai kawan suruh saya cuba masuk pasaran Melayu. Cuma, saya masih ragu-ragu akan diterima atau tidak. Jadi, apabila dapat peluang saya cuba manfaatkan sebaiknya.

“Saya berasakan pasaran Melayu lebih menjamin masa depan saya dalam bidang ini. Bukan saja besar tetapi banyak peluang saya boleh dapat.

“Buktinya, beberapa rakan artis berbangsa Cina berjaya menempatkan diri sekali gus terus dikenali dalam kalangan peminat Melayu.

“Pada masa sama, sebagai pelakon perlu untuk muncul dalam projek yang bagus demi kelangsungan kerjaya. Jadi, saya perlu bekerja keras untuk memajukan diri.

“Disebabkan itu, saya ambil kelas lakonan bersama Fauziah Nawi.

Dia banyak membantu meningkatkan mutu lakonan saya,” katanya.

Meski sebelum ini Daniel bekerja sebagai ejen insurans, dia nekad meninggalkan kerjaya itu selepas melihat perkembangan positif dalam kerjaya lakonan.

“Saya belajar di Melbourne, Australia selama dua tahun. Pada 2016 saya pulang ke tanah air dan bekerja sebagai ejen insurans selama setahun.

“Selepas itu, saya mencuba nasib dengan menghadiri sesi uji bakat drama web siri May I Love You. Dari situ, saya terpilih dan diberikan watak utama kedua.

“Disebabkan sambutan memberangsangkan, web siri itu disambung musim kedua dan baru saja ditayangkan.

“Sejak itu, saya nekad untuk meneruskan kerjaya ini. Apatah lagi, pada usia muda masih banyak perkara yang saya perlu teroka. Saya mahu belajar selok-belok industri seni,” katanya.

Daniel berkata, dia beruntung apabila keputusan itu mendapat restu keluarga.

“Mereka sangat menyokong dan tak ada sebarang halangan.

Disebabkan saya anak tunggal dalam keluarga, jadi mereka sentiasa inginkan yang terbaik untuk saya.

“Lagipun, mereka juga tahu pasaran Melayu banyak peluang menanti,” katanya.

Ditanya mengenai kesudiannya melakonkan watak mualaf, Daniel berkata, dia seorang yang profesional.

“Sebagai pelakon, saya kena bersikap profesional. Apa saja watak yang diberikan saya cuba buat sebaik mungkin termasuklah watak mualaf.

“Sudah tentu saya ingin nampak berbeza dalam setiap karya. Kalau boleh tak nak watak sama saja.

Namun, jika permintaan sebegitu saya anggap ia rezeki,” katanya yang ingin berlakon di samping Fendy Bakry, Fattah Amin dan Fazura.

Jadi penyanyi

Selain ingin mengukuhkan nama dalam bidang lakonan, Daniel yang juga model sambilan turut bergelar penyanyi apabila melancarkan single solo berjudul Sing Me Home.

Video lirik rasmi lagu itu sudah ditonton hampir sejuta kali sejak dilancarkan sebulan lalu.

“Lagu ini dalam bahasa Inggeris dan sudah boleh dilanggan di semua platform digital.

“Saya gembira kerana lagu ini mendapat maklum balas baik daripada peminat.

“Saya berharap apabila muzik video lagu ini dilancarkan pada 3 Januari nanti semakin ramai menyukainya. Lebih menarik pelakon Ruhainies menjadi model dalam muzik video itu.

“Ruhainies pilihan yang tepat. Saya berharap populariti Ruhainies dapat menarik peminat Melayu untuk menonton video muzik itu nanti,” katanya.

Diusik berkenaan kontroversi, Daniel mengaku sudah bersedia berdepan dengan segala kemungkinan.

“Buat masa ini saya masih ‘selamat’. Saya tak berani nak cakap lebih-lebih tetapi dari awal lagi sudah bersedia.

“Apatah lagi, sejak di bangku sekolah saya sudah biasa digosipkan membabitkan gaya hidup iaitu terlalu terbuka ke kelab malam. Namun, saya okey saja dan tidak terlalu runsing mengenai perkara itu.

“Sekiranya timbul kontroversi selepas ini, saya sudah tahu cara nak menghadapinya.

Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Saya juga takkan lari,” katanya.

Sebelum melancarkan single itu, Daniel pernah terbabit dalam pertandingan Super Idol4mewakili Malaysia yang berlangsung di China pada September lalu.

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 9:39pm
d