rap

Tidak pertikai atau salahkan sesiapa...

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“SAYA tidak mempertikaikan apa-apa atau menyalahkan sesiapa mengenai kematiannya sebaliknya menceritakan pengalaman perbualan akhir saya dengan Allahyarham Ustaz Radzi.

“Bukanlah saya mempertikai kerja Allah ambil nyawa dia atau sebagainya lagi,” kata penyanyi, Dwan Olan berkenaan status Facebook yang dikongsinya berkaitan kematian penyanyi kumpulan Melissa berkenaan.

Dwan atau Mohd Radzuan Yasin, 55, berkata, tujuannya berbuat demikian juga untuk membersihkan tanggapan serong segelintir peminat mengenai kematian penyanyi lagu Cinta Untuk Nabila itu.

“Apa yang tertera dalam mesej antara kami berdua, inilah yang saya paparkan di Facebook.

“Ustaz Radzi seorang yang mulia hatinya. Niatnya baik untuk menolong anggota Melissa kerana Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mahukan penyanyi asal kumpulan ini beraksi dalam persembahan yang berlangsung tempohari.

“Pada saya, penampilannya pada malam itu sekadar syarat kerana ramai peminat dan kawan-kawan yang back up dia ketika muncul menyanyi di atas pentas. Apa yang dilakukan ialah kerana Allah dan kawan-kawan. Itu yang saya nak beritahu,” katanya kepada Harian Metro.

Dwan yang popular dengan lagu Cinta Bandar Tasik Selatan mengakui, agak terkilan kerana jarang dapat berjumpa rakan lamanya ini kerana kesibukannya memenuhi undangan menyanyi.

“Sepatutnya persembahan itu berlangsung pada tarikh lain dan dia ada mesej saya minta hadir menyokong.

“Saya kata kepada dia saya tidak dapat hadir kerana ada undangan menyanyi di luar kawasan.

“Tetapi saya tidak dimaklumkan tarikh persembahan kemudiannya ditunda kepada 22 Disember lalu,” katanya.

Sepanjang mengenalinya, Dwan menjelaskan Ustaz Radzi mempunyai perwatakan yang baik dan menyenangkan.

“Dia tinggal di Langkawi dan kalau datang Kuala Lumpur pasti akan menelefon saya untuk jumpa. Malangnya saya kerap berada di luar kawasan.

“Saya memang sentiasa jadikan dia sebagai tempat rujukan sekiranya ada sebarang kemusykilan agama yang dihadapi.

“Hubungan kami rapat dan ada baiknya saya merujuk kepada dia. Sebenarnya ketika zaman sama-sama naik dulu, hubungan kami tidaklah rapat begini. Cuma apabila dia buat ‘comeback’ pada 2010 dia selalu mesej saya untuk berbual,” katanya.

Mereka juga pernah beraksi sepentas ketika menjayakan satu persembahan sempena Aidilfitri di Tanjung Malim pada tahun lalu.

Ustaz Radzi atau Mohd Radzi Abdul Hamid, 55, menghembuskan nafas akhir pada jam 11.15 malam di belakang pentas selepas rebah ketika menjayakan persembahan program Hiburan Santai Seniman anjuran Seniman dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Panggung Anniversari pada 22 Disember lalu.

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 6:08pm
d