rap

'Nasibnya tak baik ketika itu...'

Oleh Najiy Jefri

"NASIB Linda tidak baik waktu itu. Sepanjang saya menjaga mak semuanya okey," kata adik kepada penyanyi Linda Rafar iaitu Diana Rafar selepas insiden buruk yang menimpa Linda di sebuah hospital di Shah Alam, baru-baru ini.

Diana berkata, sepanjang dia menjaga ibunya, Rasimah Abd Rahman, 73 tiada kejadian tidak diingini berlaku.

"Kami adik-beradik memang ada syif menjaga mak di hospital. Alhamdulillah ketika giliran saya menjaga mak di hospital belum ada kejadian buruk yang berlaku.

"Semuanya memberikan layanan yang baik. Malah sebelum kejadian ini berlaku saya ada memuat naik beberapa video yang dirakam di Instagram Story.

"Bagi saya pekerjaan yang mereka lakukan ini sangat mulia dan berasa bangga dengan kerjaya yang dilakukan," katanya ketika ditemui pada majlis previu Beauty Box jenama Airish di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Diana, kejadian yang menimpa Linda bagaimanapun tidak sama dengannya apabila dia mendakwa menerima layanan tidak baik daripada jururawat yang bertugas dan tidak sempat menceritakan situasi itu kepada netizen.

“Saya tidak berada di tempat kejadian, tapi saya ada bukti yang tidak perlu saya tunjukkan kepada netizen. Dalam keadaan mak yang kritikal dan beberapa wayar di badannya, Linda terpaksa meminta pertolongan jururawat untuk membantunya menukar cadar.

"Bagaimanapun nasibnya tidak baik hingga dia memuat naik status di Instagram Story. Bayangkan apabila dipanggil beberapa kali tidak tiba dan jururawat yang bertugas datang dalam keadaan yang marah, siapa boleh terima.

"Mungkin apa yang dibuat Linda itu salah kerana terlalu mengikut emosi (memuat naik status) tapi setiap yang berlaku pasti bersebab.

"Kami sangat sedih apabila kejadian ini berlaku kami pula dipersalahkan. Kami menerima tekanan dan kecaman yang cukup hebat hingga mak diugut bunuh dan mahu di letak racun dalam ubatnya. Malah ada juga persatuan yang mahu mengutip dana dan mahu menyaman kami," katanya.

Tambah Diana, dia berharap kes ini tidak lagi diperbesarkan dan menemui jalan penyelesaian yang baik.

"Kami tiada niat nak memviralkan cerita ini dalam keadaan mak yang kritikal. Ketika ini kami sangat berdebar dan berdoa agar mak kembali sihat.

"Justeru saya harap kes ini akan menemui titik noktah yang baik antara kedua-dua belah pihak. Kita harap semua pihak dapat ambil iktibar atas apa yang berlaku," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, artis Linda Rafar meluahkan rasa kecewa terhadap layanan buruk diberikan sekumpulan jururawat di hospital di Shah Alam tempat ibunya, Rasimah Abd Rahman, 73, dirawat.

Linda berkata, permintaan untuk membantu menukar cadar ibunya yang terkena najis tidak diendahkan dari 3 pagi hingga 1.30 petang Khamis minggu lalu.

Status yang dimuat naik di Instagram Story miliknya itu tular hingga mendapat pelbagai maklum balas pengikut serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berita berkaitan:Linda berdepan saman

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 8:53pm
d