rap

Bantu tingkat taraf hidup

Oleh Syafil Syazwan Jefri

WALAUPUN usianya baru mencecah 19 tahun Disember lalu, Tyra Kamaruzzaman memiliki jiwa besar dan ingin mencurahkan sesuatu kepada masyarakat.

Mula popular di Instagram sejak beberapa tahun lalu, Tyra menggunakan pengaruhnya di media sosial sebagai ruang memberikan inspirasi kepada mereka yang ingin menjadi lebih baik dalam kehidupan.

“Setiap hari saya menerima pelbagai mesej daripada pengikut di Instagram yang memaklumkan saya menjadi inspirasi buat mereka. Ada juga yang meminta nasihat daripada saya terutama berkaitan perniagaan,” katanya.

Menurut Tyra, isu berkaitan ekonomi menjadi perkara utama untuknya sekali gus ingin membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.

“Dalam kehidupan hari ini, ramai yang berdepan dengan pelbagai isu terutama berkaitan ekonomi. Sebab itulah, ramai ingin melakukan sesuatu untuk membantu meningkatkan taraf hidup masing-masing,” katanya.

Siapa sangka, sebelum mula dikenali sebagai ‘Instafamous’, Tyra terlebih dulu memulakan langkahnya dalam bidang perniagaan kosmetik seawal usia 14 tahun.

“Saya bermula dalam perniagaan sangat awal dan ia adalah perkara yang saya sendiri suka. Jadi, saya nak mengajak mereka di luar sana terutama golongan muda untuk menjadi versi terbaik diri mereka sendiri,” katanya.

LANCAR TIGA PRODUK BARU

TERBARU, Tyra baru saja melancarkan tiga produk baru daripada rangkaian jenama BeauTyra by Tyra Kamaruzzaman dengan kerjasama platform jual beli digital, Shopee.

“Saya rasa sangat berbesar hati kerana diberikan ruang dan kepercayaan oleh Shopee untuk memasarkan produk saya di platform jual beli mereka,” katanya.

Setiap langkah Tyra dalam perniagaan juga mendapat sokongan daripada kekasihnya yang juga anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Aazief Khalid.

“Selain keluarga saya, Aazief dan keluarganya sentiasa menyokong apa juga yang saya lakukan untuk perniagaan. Sokongan daripada keluarga adalah yang paling utama,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 7:00am
d