rap

Terima kasih Pujaan Hati Kanda...

Oleh Ramlah Zainal

PELAKON Syazwan Zulkifly menafikan dakwaan dirinya sudah berhenti dari bidang lakonan kerana jarang muncul di kaca televisyen sejak kebelakangan ini.

Menurut Syazwan, dia juga hanya mendapat satu tawaran berlakon dalam satu projek drama rantaian sepanjang tahun lalu.

“Sebelum muncul dengan drama Pujaan Hati Kanda, ramai peminat yang bertanya kenapa saya sudah lama tidak muncul di kaca TV?. Adakah saya sudah berhenti berlakon?

"Sebenarnya, Pujaan Hati Kanda adalah drama bersiri pertama lakonan pada 2018 dan penggambaran dimulakan pada Oktober tahun lalu. Saya akui 2018 adalah tahun yang sangat getir dan mencabar dalam karier lakonan.

“Bayangkan selepas menanti selama 10 bulan, baru saya ditawarkan satu projek drama rantaian iaitu Pujaan Hati Kanda untuk stesen TV3. Itulah alasan kenapa sudah lama wajah saya tidak muncul di kaca televisyen,” tulisnya.

Kata Syazwan menerusi laman Instagramnya, dia bersyukur kerana drama Pujaan Hati Kanda turut trending sejak bersiaran di Slot Akasia TV3 sejak 20 Disember lalu.

"Terima kasih tidak terhingga kepada produksi dan pihak stesen yang masih beri kepercayaan pada bakat tidak seberapa ini. Saya anggap drama ini hadiah dan permulaan yang baik untuk 2019.

"Sepanjang menjayakan drama ini, saya hanya berpegang kepada karakter Pali diamanahkan dengan melakonkannya dengan ikhlas serta sebaik mungkin," katanya.

Perkongsian Syazwan turut mendapat perhatian netizen dan rakan artis yang memuji lakonannya seperti Fasha Sandha, Elvina Mohamad, Mustakim Bahadon, Mira Filzah.

Selain Syazwan, drama bersiri 28 episod Pujaan Hati Kanda arahan Eoon Shuhaini diterajui barisan pelakon popular seperti Remy Ishak, Mira Filzah, Sarah Hildebrand dan ramai lagi.

Ia mulai bersiaran di Slot Akasia TV3 jam 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 3:21pm
d