rap

Tujuh hari buat Linda...

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Selebriti Linda Rafar diberi tempoh tujuh hari untuk memohon maaf di atas satu tangkap layar yang mengundang persepsi negatif ke atas seorang jururawat yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.

Peguam Mukmin Azmi berkata, satu notis sudah dihantar kepada pelakon itu seperti yang tular di media sosial untuk meminta Linda memohon maaf kerana status terbabit boleh mengundang persepsi negatif kepada anak guamnya.

Katanya, ia tidak ada kena mengena dengan isu cadar di sebuah hospital di mana ibu selebriti terbabit menerima rawatan sebaliknya ia adalah tindakan susulan terhadap tangkap layar berkenaan yang memaparkan gambar anak guamnya.

“Ia tidak ada kena mengena dengan isu aduan Linda mengenai jagaan di wad sebuah hospital membabitkan ibunya baru-baru ini.

“Anak guam yang juga jururawat di sebuah hospital lain ada menghantar komen berhubung isu itu. Linda kemudian ada memuat naik tangkap layar berserta gambar anak guam di laman Instagram miliknya selepas itu.

“Keterangan mengenai perbualan dan gambar digunakan boleh menjejaskan reputasi anak guam kerana dikaitkan dengan ugutan.

“Kami memohon dia membuat permohonan maaf dalam masa tujuh hari. Saya ingin terangkan ia adalah berkaitan tangkap layar itu, bukan isu cadar. Ia tidak ada kena mengena,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Baru-baru ini Linda meluahkan rasa kesalnya terhadap layanan diterima daripada seorang jururawat yang bertugas di sebuah hospital di mana ibunya menerima rawatan.

Ia menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen dengan ada yang menyokong dan tidak kurang juga mengkritik komennya itu.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 7:40pm
d