rap

Moon Geun Young

Oleh Norhayati Nordin

Selepas menyepi seketika, aktres Moon Geun Young nampaknya sudah bersedia untuk kembali aktif berkarya.

Sebagai permulaan Moon, 32, menghasilkan dokumentari istimewa haiwan kesukaannya dalam program ‘The Secret and Great Personal Life of Animals’.

Bertindak selaku pengarah dokumentari, Moon berkongsi rahsia kehidupan ‘keluarga’ penguin.

Untuk menghasilkan dokumentari itu, Moon memilih dua rakan gandingan iaitu Eric Nam dan Kim Hye Sung.

Dalam wawancara baru-baru ini, Moon ceria berkongsi perihal ilham menghasilkan dokumentari itu.

“Saya melihat program ‘The Secret and Great Personal Life of Animals’ sebagai terapi kepada pencinta haiwan.

“Ia idea segar bagi mereka yang sering mengikuti kehidupan haiwan. Golongan ini biasanya punya rasa ingin tahu yang tinggi.

“Terutama untuk mengetahui realiti kehidupan haiwan kesukaan secara terperinci menerusi maklumat yang tepat,” katanya.

Berbicara mengenai pengalaman pertama menghasilkan dokumentari, Moon mengakui suka meneroka sesuatu perkara dengan mendalam.

“Apabila menonton beberapa dokumentari, ada terfikir bagaimana mereka yang bertanggungjawab menghasilkan produk itu dapat idea menarik.

“Saya kagum dengan kebijaksanaan mereka. Kini, tiba masanya saya belajar menghasilkan dokumentari. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan perlu fokus agar tidak hilang hala tuju. Garis panduan kerja harus dipatuhi sebaiknya,” katanya.

Moon gembira kerana dokumentari itu dapat disiapkan seperti mana yang diharapkan.

Penggambaran dokumentari penguin ilham Moon itu dilakukan di Ushuaia, Argentina.

Menurut Moon, dia menyukai penguin kerana haiwan itu sangat comel dan cantik. Namun, sayangnya dia kurang tahu mengenai ekosistem kehidupan penguin.

Dokumentari ‘The Secret and Great Private Lives of Animals’ sudah menemui penonton pada 4 Januari lalu.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 6:00am
d