rap

Misi elak negara 'gelap'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Pada 1992, filem XXray arahan Aziz M Osman mencetus fenomena tersendiri dalam kalangan peminat filem sains fiksyen tempatan.

Apatah lagi, filem Hollywood terutama karya Steven Spielberg seperti Close Encounter dan E.T turut mempengaruhi peminat menghangatkan lagi sambutan kepada XXray serta XXray 2 pada 1995.

Seperti dua judul awal yang mengetengahkan wajah pelakon baru popular, XXray 3 yang bakal ditayangkan pada 24 Januari ini turut tidak ketinggalan.

Kali ini ia menampilkan Izzue Islam, Ardell Aryana, Adam John, Ashraf Muslim, Saiful Apek, Datuk Jalaludin Hassan dan Nonny Nadirah.

Bertemu Izzue, Ardell dan Adam baru-baru ini, mereka nyata teruja menantikan filem yang dianggap paling dinantikan peminat genre sains fiksyen tempatan.

XXray 3 mengisahkan tiga anak muda iaitu penuntut jurusan fizik, Rayyan; penuntut jurusan kejuruteraan zarah, Sam dan pekerja rahsia syarikat perindustrian yang berpangkalan di sempadan Jordan - Israel, Lana yang di dalam misi menyelamatkan kerajaan Malaysia daripada disabotaj hartawan muda, Rosman yang mengancam mengulangi insiden kehilangan kuasa tenaga elektrik di seluruh negara yang pernah berlaku pada Ogos 1996.

Insiden itu disebabkan ‘wormhole’ (lohong ulat) yang menyerap kuasa utama tenaga elektrik dari stesen jana kuasa di Paka, Terengganu.

Lohong ulat berpunca daripada sebuah ‘probe’ yang tidak dikenali dari angkasa lepas.

Bapa Rosman, Tan Sri Ismail mengambil ‘probe’ itu dan menyembunyikannya.

Hakikatnya, ‘probe’ itu adalah salah satu daripada ribuan ‘probe’ yang diprogramkan untuk membuka ‘Stargate’ (pintu bintang) terbesar dan menyerap tenaga matahari untuk dihantar semula ke alam semesta lain.

Ketiga-tiga anak muda itu mencari buku nota yang ditulis Profesor Amir dipercayai mempunyai jawapan untuk mengawal ‘probe’ berkenaan dan seterusnya menyelamatkan sistem solar.

XXray 3 menjalani penggambaran selama dua tahun bermula pada 2015 dan menelan belanja RM2.5 juta.

‘Hari ini dapat tawaran, esok terus ke Jordan’

Ardell yang membawa watak Adel berkata, dia mengikuti dua judul awal XXray ketika kecil.

“Apabila dapat saja tawaran, saya terus bersetuju tanpa banyak soal. Apa saja yang diajar dan disuruh pengarah, saya buat saja.

“Apatah lagi ini kali pertama bekerja di bawah Aziz yang juga pengarah dihormati. Dia pengarah yang ringkas tapi tegas. Kalau dia marah, maksudnya ada yang tidak kena dengan lakonan, tapi tiadalah sampai dia naikkan suara,” katanya.

Antara cabaran dilalui Ardell adalah masa dan skrip yang ditulis sendiri oleh pengarah.

Katanya, pada hari bersetuju untuk berlakon, Ardell terus diarahkan untuk ke Jordan bagi menjalani penggambaran pada keesokan harinya. Malah, skrip juga diperoleh di set penggambaran.

“Sudahlah dengan situasi ‘jetlag’ kerana perbezaan masa antara Jordan dan Malaysia, memang saya agak bergelut.

“Mujurlah babak saya tidak terlalu banyak dan semuanya dilakukan di sana. Saya anggap ia sebagai cabaran dan sesuatu yang berbaloi,” katanya.

Izzue harap XXray 3 cetus fenomena

Izzue Islam berharap XXray 3 menjadi fenomena sebagaimana dua filem terawal sebelum ini.

Katanya, walaupun jalan cerita kali ini tidak berkait rapat dengan XXray dan XXray 2, ia masih relevan dan penceritaannya lebih moden.

“Saya juga peminat XXray dan apabila mendapat tahu Aziz mahu menghasilkan semula filem itu, saya teruja. Tidak sangka pula saya terpilih untuk menjadi sebahagian daripada legasi XXray,” katanya.

Bekas anggota Forteen ini berkata, dia banyak belajar dengan Aziz mengenai tuntutan wataknya sebagai Rayyan.

Dia juga mengakui Aziz adalah pengarah yang tegas, tetapi senang untuk bekerjasama kerana dia tahu apa yang dimahukan untuk setiap babak dan jalan cerita.

“Apa yang pengarah nak, ikut saja. Ia lebih senang untuk pelakon dan tidak membuang masa semua,” katanya.

Rayyan adalah pelajar kolej yang meminati ilmu astronomi dan UFO.

Dia juga perlu memahami petunjuk yang ditinggalkan watak Amir Hamzah lakonan Aziz dalam XXray dan XXray2 sepanjang plot berkembang.

“Nampak senang tapi ia sangat sukar sebab saya perlu menampakkan diri sebagai seorang yang bijak mentafsir ilmu astronomi,” katanya.

Adam kagum dengan CGI XXray 3

Pelakon baru, Adam John atau nama sebenarnya Wan Muhammad Shahruddin mengakui filem XXray mengambil masa lama untuk diterbitkan kerana tiada idea yang boleh dikaitkan dengan Malaysia selama tempoh lebih dua dekad.

Katanya, XXray 3 adalah sebuah cerita yang boleh berdiri sendiri tanpa perlu mengaitkan dengan siri terdahulu.

“Menariknya, kesan khas imej janaan komputer (CGI) lebih moden dan terperinci. Saya percaya harapan dan tanggapan penonton tempatan sangat tinggi, jadi kami kena buat yang terbaik untuk puaskan hati semua pihak.

“Walaupun CGI tidak banyak iaitu kira-kira 30 peratus saja, ia sebenarnya jauh lebih banyak berbanding dua siri lalu,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 11:09am
d