rap

Siti jengah usia 40

Oleh Najiy Jefri

BAKAL menjengah usia 40 tahun Jumaat ini, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa syukur apabila diberikan kesihatan yang baik selain masih terus utuh mewarnai industri seni tempatan.

Siti berkata, pada usia 40 tahun beliau sudah meraih apa yang diimpikan dalam hidupnya.

“Pada usia ini pastinya kita lebih matang dalam berdepan kehidupan.

“Selain itu saya juga bersyukur dengan kelahiran anak sulung, Siti Aafiyah pada tahun lalu.

“Soal pertambahan usia bukanlah satu hal yang perlu dibimbangkan kerana setiap manusia akan melalui proses ini.

“Cuma, saya mohon diberikan kesihatan yang baik agar dapat buat kerja dan melakukan ibadat,”

katanya ketika ditemui di acara Showcase Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Go Shop , baru-baru ini.

Tambah Siti, dia juga bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat mengekalkan kedudukan dalam bidang seni.

“Saya mula menyanyi pada usia 16 tahun dan masih diberikan ruang serta peluang untuk menghiburkan peminat.

“Melalui zaman remaja hingga ke angka 40-an ini banyak kenangan dan perjalanan yang ditempuh. Ada pahit dan manisnya, tapi semuanya adalah catatan indah dalam kamus hidup saya,” katanya.

Menurut Siti, sepanjang lebih dua dekad dalam bidang nyanyian, dia tidak perlu melalui fasa yang pelik-pelik untuk meraih perhatian khalayak.

“Saya beruntung kerana tidak perlu melakukan perkara pelik atau gimik untuk mendapat perhatian.

“Semuanya datang dengan Izin-Nya dan saya sangat bersyukur dengan setiap nikmat dan rezeki,” katanya.

Beralih mengenai showcase sambil memasak yang pertama kali dilakukan dan disiarkan secara langsung, Siti akui teruja apabila berjaya merekodkan penjualan produk tertinggi di saluran membeli-belah Astro, Go Shop sepanjang dua jam bersiaran.

Malah, pelancaran koleksi peralatan memasak Vantage secara eksklusif kepada pelanggan Astro itu nyata membawa impak apabila mencatatkan jualan melebihi tujuh kali ganda jumlah sasaran awal yang ditetapkan.

“Alhamdulillah, penjualan ini bukan hanya kerja saya seorang, tetapi seluruh kakitangan Vantage yang bekerjasama dalam mempromosikan produk ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 9:59am
d