rap

Idam trofi Grammy

Oleh Georgie Joseph

Sejak lagu Seven Years meledak pada 2016, Lukas Graham terus mencuri perhatian jutaan peminat seluruh dunia.

Band dari Denmark dianggotai Lukas Forchhammer sebagai penyanyi utama, Mark Falgren (dram) dan Magnus Larsson (bass) ini nyata tidak mensia-siakan peluang serta ruang di depan mereka.

Band itu turut mendapat pencalonan di Grammy Awards pada tahun berikutnya. Impak lagu Seven Years yang menjadi lagu digital keempat paling laris di Amerika Syarikat (AS) itu nyata berbaloi.

Lukas dalam satu temu bual berkata, mereka memang terkejut dengan pencalonan itu walaupun tidak pulang sebagai pemenang.

“Tak dinafikan saya agak kecewa apabila kami tidak menang, namun kekasih saya menegur pencapaian itu sepatutnya diraikan. Dicalonkan dalam Grammy Awards sebenarnya satu kejayaan membanggakan.

“Apa yang dikatakannya sangat benar. Bagaimana saya boleh kecewa untuk trofi yang bukan ditakdirkan menjadi milik kami?” katanya.

Dalam pada itu, lagu terbaru mereka, Love Someone kini mula mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat, sekali gus menyimpan harapan besar untuk memenangi trofi Grammy Awards selepas ini.

Pada Grammy Awards 2017, mereka dicalonkan dalam tiga kategori iaitu Rakaman Terbaik, Lagu Terbaik dan Persembahan Duo/Berkumpulan Terbaik dan yakin masa mereka akan tiba satu hari nanti.

“Memenangi trofi Grammy adalah segala-galanya untuk kami. Corak pengadilannya untuk pemilihan sangat menarik dan berkualiti.

“Pada 2016, tiada siapa pun mengenali kami dan tiba-tiba tahun seterusnya dicalonkan untuk tiga kategori di Grammy Awards. Menjadi calon saja pun sudah menjadikan kami berada di awang-awangan.

“Saya tidak dapat bayangkan jika menang ketika itu. Pastinya ia satu perasaan yang sangat sukar untuk dihadam,” katanya.

Tampil dengan album terbaru berjudul 3 (The Purple Album), kumpulan itu percaya mereka terus konsisten menghasilkan karya berkualiti.

“Sekarang ini saya jauh lebih yakin. Walau apapun corak penerimaan untuk album ini, saya berjaya membentuk diri menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab sepanjang penghasilannya,” katanya.

Dalam pada itu, band berkenaan bakal bertandang ke Malaysia pada sekitar pertengahan bulan ini untuk aktiviti promosi di sini.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 11:00am
d