rap

'Saya halalkan demi anak-anaknya'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI yang juga vokalis kumpulan Azlan & The Typewriter, Azlan, mengakui tidak menyimpan dendam terhadap penganjur Konsert High Note yang sehingga ke hari ini, belum melunaskan bayaran sebanyak RM90,000 kepadanya.

Menurut Azlan atau nama sebenarnya Nor Azlan Rosle, 37, dia juga sudah menerima dengan reda setiap apa yang berlaku.

“Saya halalkan bayaran wang tertunggak itu untuk anak-anak penganjur itu kerana bagi saya, kalau saya nak teruskan dengan proses saman pun, nanti yang akan susah adalah keluarga dan anak-anaknya.

“Atas perbuatan dan kesalahan besar yang dilakukannya, saya serahkan kepada Tuhan,” katanya kepada Harian Metro.

Sehingga ke hari ini, Azlan memberitahu bahawa individu itu juga sudah melarikan diri dan tidak dapat dikesan.

“Pihaknya sendiri pun tidak ada menghubungi pihak pengurusan saya dan mereka pun tidak dapat dikesan.

“Untuk artis lain, saya tak pasti sama ada mereka ada ambil tindakan selanjutnya atau tidak. Tapi untuk saya, saya dah hentikan dan anggap itu sebagai pengajaran,” katanya.

Selain Azlan, turut terbabit dalam konsert sama adalah Ziana Zain dan Jaclyn Victor.

Walaupun berdepan ujian besar sebegitu, Azlan menegaskan dia tidak mahu berputus asa untuk terbabit dalam konsert.

Kali terakhir Azlan muncul di pentas konsert adalah di acara Konsert Nova 2017.

Terbaru, Azlan muncul dengan single solo ciptaannya, berjudul Kukuh.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 7:43pm
d