rap

Farid Kamil 'diserbu' mat rempit JB

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

PELAKON dan pengarah, Datuk Farid Kamil dikerumuni lebih 300 mat rempit ketika sedang makan di sebuah restoran di Larkin, Johor Bahru, malam tadi semalam.

Bagaimanapun, situasi itu adalah sempena sambutan ‘mini gathering’ Spark Malaysian Club Johor yang buat julung kalinya dihadiri Farid yang juga Ikon Rempit bagi kelab permotoran itu.

Farid ketika ditemui berkata, dia agak terkejut dan teruja dengan sambutan meriah diberikan ahli Spark Johor serta komuniti permotoran di negeri itu yang menunjukkan semangat keharmonian tinggi dalam menjayakan perjumpaan itu.

“Ini adalah pertemuan kali pertama saya bersama Spark Johor dan kali kedua menyertai siri jelajah ini yang dianjurkan dalam bentuk ‘mini gathering’ bagi mencari serta mendaftarkan ahli baharu menyertai Spark.

“Besar harapan saya untuk melihat komuniti permotoran ini bergerak dalam satu kelab yang tersusun dan mempunyai aktiviti berfaedah buat ahli sekali gus, mengurangkan gejala lumba haram sehingga mengakibatkan kemalangan maut.

“Penubuhan Spark Malaysian Club ini juga diharapkan dapat mengubah persepsi dan stigma masyarakat terhadap mat rempit yang mungkin sebelum ini dianggap sebagai kumpulan yang sering menimbulkan masalah,” katanya.

Turut hadir, Presiden Spark Malaysian Club yang juga pelakon serta pengarah Zul Huzaimy dan Presiden Spark Johor yang juga pelawak, Mamat Sepah.

Sementara itu, Zul Huzaimy berkata, dalam tempoh hanya hampir tiga bulan sejak ditubuhkan awal Oktober tahun lalu, Spark Malaysian Club kini memiliki kira-kira 1,000 ahli berdaftar seluruh negara.

“Sesiapa yang menjadi ahli Spark Malaysia Club juga akan mendapat kelebihan antaranya khairat kematian yang jarang diberikan persatuan atau kelab lebih-lebih lagi membabitkan kelab permotoran seperti ini.

“Jangan ingat kami hanya menunggang motor, semua itu kami lupa. Tidak, selepas ini setiap urusan jenazah sejurus mendapat tahu kematian ahli kita, semuanya akan diuruskan dengan sempurna,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 10:31am
d