rap

Dari Jauh penuh emosi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Bahang Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) yang akan berlangsung pada 3 Februari depan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil semakin dirasai peminat.

Bagi menghangatkan lagi suasana, stesen TV3 mengambil inisiatif menerbitkan empat telefilem khas yang dihasilkan empat produksi berlainan.

Kyoll Hamzah, sutradara bertuah apabila diberi kepercayaan mengarahkan telefilem berjudul Dari Jauh yang akan menemui penonton menerusi slot Cerekarama pada 12 Januari ini.

“Alhamdulillah, rezeki saya apabila diberikan kepercayaan mengarahkan drama ini. Ia diinspirasi daripada lagu Khai Bahar yang berjudul Luluh.

“Ia drama saya yang pertama sebagai pembuka 2019 dan diharapkan terus mendapat kepercayaan daripada penerbit untuk mengarahkan drama terbitan mereka,” katanya.

Sebelum ini Kyoll berpengalaman mengarahkan pelbagai drama antaranya Meh Sandar Lagi, Panggilan Subuh, Dan Aku Jatuh Cinta, Lara Intan Di Hati Laila dan terbaru, Dian.

Dari Jauh dibintangi pelakon popular seperti Shiha Zikir, Ariff Bahran, Sandra, Liza Abdullah dan Azhan Rani.

Drama genre romantik ini mengisahkan dua beradik, Erul dan Emi yang berdepan cabaran getir ketika membesar apabila ibu bapa mereka meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Kyoll berkata, cerita ini penuh emosi dan sebagai pengarah dia bertanggungjawab mewujudkan elemen ini dalam diri barisan pelakonnya.

“Watak utama cerita ini dilakonkan Shiha, Ariff dan Sandra manakala pelakon berpengalaman lain ditampilkan sebagai undangan khas.

“Saya perlu membentuk mereka agar dapat menghayati watak yang dibawa.

“Alhamdulillah, semuanya amat berbakat. Malah mereka memanfaatkan pengalaman menyertai beberapa program realiti ketika menjayakan Dari Jauh,” katanya.

Sambung Kyoll, mengarah cerita sebegini amat mengujakan kerana selain lakonan, dia perlu memasukkan elemen hiburan seperti persembahan pemuzik jalanan dalam drama ini.

“Meski ia perkara baru bagi saya, penggambaran berjalan lancar dengan bantuan semua pihak.

“Kami bekerja dalam suasana tenang dan santai. Gandingan mantap pelakon baru dan mereka yang berpengalaman turut membentuk drama ini jadi lebih menarik.

“Saya juga beruntung mempunyai barisan kru terbaik yang memahami kerja masing-masing,” katanya.

Sinopsis

Ketika zaman kecilnya, Erul suka melihat persembahan ibunya, penyanyi kumpulan band kahwin, The Kugirans yang diketuai bapanya.

Bagi Erul dan Emi, ibu bapa mereka individu paling ‘cool’ di dunia.

Dalam perjalanan untuk menjayakan persembahan majlis kahwin, anggota band itu terbabit dalam kemalangan dan semuanya terkorban.

Bermulalah episod baru dalam hidup Erul dan Emi apabila mereka terpaksa tinggal bersama Pakcu.

Pakcu terlalu garang, pantang silap sikit pasti dipukul. Dua beradik itu tertekan dan akhirnya Erul mengajak Emi melarikan diri.

Mereka tiba di Kuala Lumpur dan hidup sebagai peminta sedekah serta penyanyi.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 12:00pm
d