rap

Konsert sulung Ha Ha, Jong Kook

Oleh Georgie Joseph

Meskipun fenomena program Running Man daripada Korea Selatan tidak lagi sehebat lima tahun lalu, impak ditinggalkan beberapa hosnya tidak pernah pudar.

Mengisi kalendar konsert di Malaysia tahun ini, dua hos program terbabit iaitu Ha Ha dan Kim Jong Kook dijadualkan mengadakan konsert sulung anjuran Macpiepro di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 Mac, jam 6 petang.

Pernah bertandang ke sini beberapa tahun lalu, tidak dinafikan kebolehan mereka berdua sebagai penghibur memang luar biasa. Bukan setakat kelakar bahkan nyanyian mereka sangat bagus.

Hal itu terbukti sewaktu mereka hadir bersama rakan hos Running Man menjayakan sebuah acara bertemu peminat yang dihadiri lebih 2,500 penonton.

Berbeza dengan acara itu, untuk konsert akan datang Ha Ha dan Kim Jong Kook mahu tampil dengan persembahan lebih bersifat peribadi. Mana tidaknya, pentas kali ini hanya dikuasai mereka berdua.

Bukan lagi setakat menghiburkan malah mereka mahu menonjolkan kebolehan dalam dunia muzik.

Kim Jong Kook memang dikenali dengan kemerduan vokal yang mampu membuatkan peminat terpukau. Ha Ha pula memiliki keunikan tersendiri dengan muzik reggae yang diperjuangkan.

Meski berbeza genre muzik, menggabungkan mereka di pentas sama adalah pertaruhan bijak. Buat peminat yang sememangnya mengikuti kerjaya muzik mereka, pasti tahu kedua-duanya benar-benar serasi.

Bahkan, Ha Ha pernah berkolaborasi dengan Kim Jong Kook dalam album ‘Volume 7 - Journey Home’ menerusi lagu yang berjudul ‘Words I Want to Say to You’.

Selain mereka, konsert berkenaan menampilkan penyanyi reggae terkenal Korea Selatan iaitu Skull yang tentu memeriahkan lagi suasana.

Sewaktu mereka bertandang ke sini pada 2014, Ha Ha berjaya menukar suasana konsert menjadi pentas dansa dengan persembahan bertenaganya. Seperti semua sedia maklum, Ha Ha sememangnya penyanyi yang sudah kuat namanya memperjuangkan irama hip hop di Korea.

Jong Kook pula sedikit bergelut dengan vokalnya menyanyikan beberapa lagu antaranya Sunday Morning nyanyian asal Maroon 5. Dia bagaimanapun kelihatan selesa di pentas.

Tiket konsert boleh dibeli secara ‘offline’ mulai 19 Januari (12pm) hingga 20 Januari ini di kedai gaya hidup digital Mcalls di NU Sentral, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall, Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Paradigm Mall Johor Bahru dan Pusat Servis Mcalls MMall Pulau Pinang.

Selain kedai gaya hidup digital Mcalls, tiket konsert juga boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web MacpiePro (www.macpiepro.com) pada 21 Januari 2019 (mulai 12 tengah hari) dengan harga tiket RM153 (Zon Biru), RM243 (Zon Hijau), RM333 (Zon Ungu), RM453 (Zon Kuning) dan RM493 (Zon Merah).

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 10:04am
d