rap

Upin & Ipin angkat animasi negara

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Selepas lima tahun menanti, akhirnya filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bakal menemui peminat pada 21 Mac depan.

Produser Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata filem animasi ini mengambil masa lama kerana mereka mahu memperincikan kemahiran tenaga kreatif dimiliki.

“Pada awal pembikinan, kami hanya memiliki 30 tenaga mahir teknikal tempatan yang menghasilkan animasi dan sepanjang tempoh itu, filem ini membabitkan 140 orang tenaga mahir.

“Tujuan asal projek animasi itu adalah meningkatkan tahap kualiti animasi negara agar setaraf dengan filem animasi luar negara,” kata Burhanuddin.

Katanya, filem animasi itu turut menelan kos tinggi iaitu hampir RM20 juta kerana banyak kajian dibuat kumpulan R&D (kajian dan pembangunan) agar setaraf antarabangsa.

Selain itu, mereka juga cuba ketengahkan cerita-cerita dongeng tempatan seperti watak Raja Bersiong, Pak Belalang, Bawang Putih Bawang Merah dan sebagainya yang digabung ke dalam pengembaraan dunia baharu Upin & Ipin.

“Semua cerita dibuat beberapa kali. Setiap kali buat, ubah lagi sehinggalah semua berpuas hati dengan hasil akhir.

“Terutamanya untuk memastikan setiap elemen legenda ‘mesra’ dengan penonton luar negara yang mungkin asing dengan watak-watak itu.

“Selain itu, simulasi yang dulu agak lama dan tidak sesuai diangkat ke layar. Jadi, banyak masa dihabiskan untuk aspek teknikal,” katanya lagi.

Bercerita lebih lanjut mengenai cabaran dilalui, dia mengakui semua model asal perlu dihasilkan semula bagi membezakan model untuk tayangan televisyen dan filem.

Disebabkan itu tahap kecekapan teknikal sangat penting sehingga perlu mewujudkan satu lagi kumpulan R&D khas yang fokus mereka hanya kepada menyelesaikan isu-isu berkaitan.

Tanpa berselindung, kos RM20 juta yang dilaburkan sebahagian besar adalah untuk membayar gaji pekerja teknikal selama lima tahun.

Selain itu, proses ‘rendering’ pula terpaksa dibuat di luar negara terutama di Hong Kong kerana faktor saiz simulasi yang besar.

Menariknya, Burhanuddin berani pergi lebih jauh dengan bekerjasama dengan sebuah orkestra di Boston, Amerika Syarikat untuk tujuan menghasilkan skor muzik filem.

Katanya, kumpulan orkestra yang pernah menghasilkan skor muzik untuk filem animasi Final Fantasi itu menawarkan khidmat kepada mereka selepas melihat filem terbaharu Upin & Ipin mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

“Manakala ‘final mixing’ pula akan dibuat di Bangkok. Saya berharap filem ini akan menjadi terbaik dari segi kualiti yang ada setakat ini.

“Kami juga akan melakukan proses ‘dubbing’ di Los Angeles dan berharap dengan segala proses itu, filem ini dapat dijual ke seluruh dunia,” katanya.

Burhanuddin turut berkongsi, selain ditayangkan di Malaysia, filem itu juga akan menemui peminat mereka di Singapura, Brunei dan Indonesia.

Malah, dia dalam perbincangan untuk cuba menembusi pasaran China, Taiwan dan Jepun.

Tiga pengarah, satu tujuan

Demi memastikan kualiti lebih kemas, tiga pengarah muda dipertanggungjawabkan untuk mengemudi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal.

Pengarah satu, Syed Faizu yang pernah mengarah siri animasi berjudul Puteri tahun lalu, berkata dia fokus kepada pengarahan elemen aksi dalam filem itu.

Pengarah dua, Ahmad Razuri Ajmain pula bertanggungjawab dari sudut pandang emosi setiap karakter.

“Saya perlu memastikan setiap penonton rasa tersentuh apabila menonton kelak. Walaupun kami bertiga mengarah, kami tetap dipantau pengarah kreatif Hajah Ainon,” kata Ahmad Razuri yang pernah mengarah siri animasi Pada Zaman Dahulu.

Manakala pengarah tiga, Adam Amiruddin yang pernah mengarah siri animasi Upin & Ipin selama empat musim sebelum ini bertanggungjawab untuk memastikan intipati dua karakter utama itu dikekalkan.

“Saya perlu pastikan intipati dan elemen Upin & Ipin masih dikekalkan. Walaupun dua karakter ini diangkat ke layar lebar tapi ia tidak boleh lari daripada intipati asal mereka,” katanya.

Tanpa berselindung, Syed Faizu akui mereka bertiga mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

Katanya, peringkat awal dipertemukan untuk mengemudi projek ini, mereka sering bergaduh.

“Dalam setiap pergaduhan pasti akan mencapai persetujuan bersama. Kalau ada beberapa situasi tidak sepakat, kata putus terakhir adalah daripada Hajah Ainon.

“Selama lima tahun kami menghasilkan filem ini, boleh dikatakan kami berkembang dengan lebih baik.” kata Syed Faizu sambil dipersetujui Ahmad Razuri dan Adam.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 10:58am
d