rap

Bahagia dengan cahaya mata

Oleh Syafil Syazwan Jefri

REZEKI tidak hanya dalam bentuk wang semata-mata, tetapi juga kurniaan cahaya mata.

Erti kebahagiaan buat penyanyi popular Black ialah apabila dapat melihat dua anaknya, Khaleef Dayyan, 4, dan Rindu Dayana, 3 bulan, membesar di depan mata.

Black ketika ditemui pada majlis ulang tahun kelahiran keempat Khaleef diadakan serentak dengan majlis akikah Rindu baru-baru ini berkata, dia sentiasa mendoakan dua anaknya itu menjadi anak yang berguna kepada masyarakat.

“Tentunya sebagai bapa, saya mahu anak menjadi insan yang berguna. Bukan saja kepada ibu bapa, tetapi juga kepada bangsa, agama dan negara,” katanya.

Ditanya mengenai publisiti yang diterima terutama Dayyan, Black berkata, tahun ini dia akan cuba mengawalnya.

“Tahun ini, Dayyan sudah mula bersekolah. Jadi, saya akan kurangkan sedikit untuk memberikan pendedahan kepadanya,” katanya.

Berkongsi pengalaman selepas memiliki dua cahaya mata, Black mengakui dia berasakan perbezaan ketara.

“Sebelum ini proses menjaga seorang anak lebih mudah kerana saya dan isteri membahagikan tugas. Tapi, apabila sudah ada dua anak, masing-masing kena bekerja keras.

“Rindu lebih manja berbanding abangnya. Jadi, apabila dia banyak habiskan masa bersama ibunya, sayalah yang perlu meluangkan banyak masa dengan Dayyan,” katanya.

Black juga berterima kasih kepada peminatnya yang sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga.

“Saya ambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga. Saya juga bersyukur kerana tidak ada ‘keyboard warrior’ yang menulis perkara negatif mengenai keluarga saya,” katanya.

Dayyan dan Rindu adalah anak hasil perkahwinannya dengan Naquia Yasirah Mohd Khairi.

Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, Black berkata, dia kini sedang mencari komposer untuk lagu baharunya dan dia juga terbabit secara langsung dalam penghasilan lagu itu.

Selain itu, dia juga merancang mengadakan konsert di Singapura dan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 6:30am
d