rap

Semoga dipermudahkan Nourul...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Nourul Depp berkongsi idea mengamalkan senaman di gimnasium bagi memudahkannya bersalin anak keempat dijangka Mei ini.

Bagaimanapun, Nourul yang kini hamil dengan usia kandungan 24 minggu berkata, wanita mengandung yang ingin melakukan aktiviti senaman perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

“Saya baru mula ke gimnasium hari ini. Masa hamil, saya kena aktif supaya senang nak bersalin. Kalau boleh buat senaman yang dibenarkan seperti regangan badan, yoga atau banyakkan berjalan.

“Pengalaman mengandungkan anak kedua, Zachary Depp, saya sangat aktif. Memang senang nak bersalin.

“Cuma nasihat saya, kena dapatkan nasihat doktor sebelum mulakan apa-apa aktiviti sukan. Pastikan tiada ada tekanan darah tinggi atau rendah. Paling penting tiada ‘pregnancy diabetes’,” katanya.

Menurut Nourul, meski sedang hamil tidak ada alasan untuk kekal aktif.

Selain itu, Nourul turut mengamalkan pemakanan seimbang untuk penjagaan kesihatan berpanjangan.

Nourul berkahwin dengan lelaki Perancis, Eric Daniel Depp, 53, dikurniakan dua anak lelaki iaitu Zachary Depp, 6, dan Raphael Depp, 4.

Bersama bekas suaminya, Ajai, mereka mempunyai anak perempuan, Ayu Nazirah yang kini berusia 21 tahun.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 1:17pm
d