rap

Tunggu masa timang anak lelaki

Oleh Michelle Gun

PENYANYI Nubhan Ahamad mengambil risiko membawa isterinya yang dijangka bersalin bila-bila masa ke pelancaran single baru Selamat Jalan Cinta, hari ini.

Nubhan berkata tarikh pelancaran sudah ditetapkan dan enggan mahu menundakan ke hari lain kerana mahu isteri, Dr Afifah Tawfek dan anak Aafiya berada di majlis berkenaan.

“Kalau diikutkan isteri dijangka bersalin hari ini. Setakat ini semuanya berjalan lancar dan kami sudah membuat persiapan sekiranya dia menunjukkan tanda-tanda bersalin,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 32 tahun itu, Selamat Jalan Cinta ciptaan Merak Bersyair lagu pertama selepas mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu.

"Oleh sebab itu, saya mahu isteri dan anak turut hadir di majlis pelancaran sebagai pembakar semangat kepada saya," katanya.

Dalam pada itu, Nubhan berkata masih belum mendapatkan nama sesuai untuk bayi lelaki yang bakal lahir.

“Isteri sudah bising mengenai perkara itu. Sebenarnya dia ada memberi senarai nama tetapi saya tidak berkenan. Saya lebih suka nama ringkas manakala isteri mahu nama moden,” katanya.

Nubhan dan Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan mereka dikurniakan anak perempuan diberi nama Aafiya yang kini berusia 19 bulan.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 7:51pm
d