rap

Karya khas buat Zul

Oleh Ramlah Zainal

Berbanding karya sebelum ini, pengarah muda berbakat besar Syafiq Yusof percaya filem terbarunya, Misteri Dilaila menampilkan kelainan yang dapat menarik penonton ke pawagam.

Filem genre misteri thriller terbitan Skop Productions Sdn Bhd itu mempertaruhkan gandingan mantap barisan pelakon Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Sasqia Dahuri dan Datuk Rosyam Nor.

Menurut Syafiq, 25, genre misteri thriller yang ada elemen seram seperti itu jarang dipaparkan dalam filem tempatan.

“Saya ambil masa dua bulan setengah untuk menghasilkan skrip filem ini. Saya tulis skrip filem ini khusus buat Zul.

“Watak utama itu sangat sesuai dilakonkan Zul dan bukan pelakon lain. Sebelum ini, Zul banyak beraksi dalam cerita cinta dan aksi, kali ini dia cuba genre lain pula,” katanya.

Syafiq berkata, dia pernah bekerjasama dengan Zul Ariffin menerusi drama bersiri Gerak Khas ketika mula-mula menceburi dunia pengarahan dulu.

“Saya sudah lama tidak bekerja dengan Zul. Penggambaran filem Misteri Dilaila selesai pada tahun lalu. Apa yang saya boleh katakan, Zul menampilkan lakonan yang sangat bagus dan berkesan dalam filem ini,” katanya.

Mengenai pemilihan barisan pelakon lain pula, kata Syafiq, dia memang suka meneroka sesuatu yang baharu dalam karya dihasilkan.

“Saya pernah menampilkan Wak Doyok dalam filem Abang Long Fadil 2 dan ternyata ia diterima penonton.

“Kali ini, saya tampilkan Elizabeth bagi melakonkan watak isteri Zul dalam filem ini. Saya mahukan kelainan dengan mengetengahkan watak isteri Zul keturunan Cina dan bukan wanita Melayu,” katanya.

Ditanya harapannya terhadap filem itu, Syafiq berkata, dia hanya serahkan kepada penilaian penonton nanti.

“Sebagai pengarah, saya sudah berusaha memberikan yang terbaik. Saya sangat berharap penggemar filem tempatan menyokong Misteri Dilaila yang akan menjengah pawagam tanah air bermula 21 Februari ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syafiq bakal memulakan penggambaran filem Abang Long Fadil 3 pada Mac ini.

“Saya sangat teruja untuk kembali mengarahkan filem ini. Watak utamanya masih dibawa Zizan Razak.

“Kali ini, saya tampilkan lebih ramai pelakon komedi untuk beraksi dalam filem Abang Long Fadil 3,” katanya.

Sebelum ini, Syafiq pernah menjadi pengarah dan penerbit bersama projek siri mini KL Gangster Underworld untuk saluran iflix.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 8:02am
d