rap

Tahniah Syida dan Syafiq

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON, Syida Melvin selamat melangsungkan pernikahan dengan lelaki pilihannya, Mohamad Syafiq Azim Shaheen, 30, yang juga anak kepada Iron Lady Malaysia, Allahyarham Datuk Dr Maznah Hamid di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.

Syida, 22, atau nama sebenarnya Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin berkata, dia bersyukur majlis dirancang berjalan lancar dan sudah bersedia menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.

“Alhamdulillah, saya berasa lega dan gembira apabila segalanya dipermudahkan Allah SWT. Sekarang, bermula sudah tanggungjawab sebagai isteri.

“Dalam masa sama, saya berasa sedih sebab perlu ‘berpisah’ dengan keluarga dan tidak boleh bergantung harap kepada mereka lagi. Fokus saya kini kepada suami dan keluarga sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Syida yang juga adik kepada pelakon Syatilla Melvin berkata, dia sedikit sedih apabila ibu suaminya tidak dapat menyaksikan hari bahagia mereka.

“Kami diperkenalkan oleh arwah pada 2016. Kalau arwah masih ada, dia mesti orang yang paling gembira. Sebab dia nak sangat tengok kami kahwin. Namun, Allah lebih sayangkannya apabila meninggal dunia dua tahun lalu.

“Saya dapat rasakan perasaan suami semalam apabila insan tersayang tiada di sisi. Apa pun, saya cuba untuk menjadi isteri terbaik. Semoga perkahwinan kami ini diberkati dan kekal hingga ke jannah,” katanya.

Menurut Syida, dia dan suami memilih untuk berbulan madu di Pulau Maldives bulan depan.

“Selepas semua majlis selesai, kami akan ke Maldives untuk berbulan madu. Lokasi ini adalah pilihan saya sebab memang sukakan suasana pulau.

“Lagi pula, tempat ini sangat sesuai dijadikan percutian bulan madu. Orang kata, berehat sambil menikmati pemandangan dan keindahan pulau,” katanya.

Syida dan Syafiq bertunang pada Jun tahun lalu.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 11:54am
d