rap

Afif serlah sisi baharu

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Selama 11 tahun berjuang dalam kumpulan, penyanyi Afif akhirnya mengambil keputusan untuk bergerak solo.

Walaupun dua kumpulan yang pernah dianggotainya iaitu The Fabulous Cats (TFC) dan Nukilan sudah berkubur, langkah Afif tidak terhenti di situ.

Kali terakhir dia bersama Nukilan ialah pada 2016 sebelum memutuskan untuk menjadi guru vokal pada 2017.

Bagi Afif, 33, atau nama sebenarnya Ahmad Aliff Afif Tirmizie, cinta dan minat terhadap muzik yang tidak pernah padam membuatkan dia nekad terus menyanyi.

“Saya bukan ‘penat’ nak bergerak dalam kumpulan tetapi sudah sampai waktu saya bergerak solo dan merencana kerjaya sendiri. Kalau ikutkan rancangan, dari awal pembabitan lagi saya nak menyanyi secara solo tetapi tak ada rezeki.

“Peluang lebih banyak buat kumpulan. Maka, saya tak nak sia-siakan kepercayaan diberi. Pada masa sama, saya ingin menimba pengalaman dari segi membuat persembahan. Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu saya berjaya buat dan orang pun mengenali saya,” katanya.

Afif yang juga bekas bintang program realiti Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) berkata, peralihan dibuat itu seiring dengan peredaran waktu dan usianya.

Pada masa sama, Afif mengakui jiwanya lebih terarah ke genre pop balada sekali gus menjenamakan semula diri dan kerjayanya.

“Selepas tidak bersama kumpulan, saya baru jumpa muzik sebenar iaitu pop balada. Sebelum ini, bukan tak suka muzik R & B hip hop tetapi jiwa lebih ke arah lain.

“Genre ini sesuatu yang baharu dan segar untuk kerjaya solo saya. Apa yang penting juga, ia ibarat penjenamaan semula saya. Kini saya ingin dikenali sebagai Afif Tirmizie.

“Biarpun tidak lagi bersama kumpulan, sokongan peminat masih ada untuk saya. Mereka selalu tanya bila saya nak keluarkan lagu sendiri,” katanya.

Justeru, selepas dua tahun bergerak solo, Afif memberanikan diri muncul dengan single baharu berjudul Nadi. Ia juga ibarat percaturan baginya apatah lagi kini zaman kebangkitan budak baru nak up (BBNU).

Namun, Afif boleh menarik nafas lega apabila lagu ciptaan sepenuhnya itu dipilih menjadi lagu tema drama Jika Masih Ada Rindu yang ditayangkan TV3 menerusi slot Samarinda.

Afif mengakui, populariti drama lakonan Kamal Adli dan Siti Saleha itu melonjakkan lagu itu hingga mencatat peningkatan mendadak dari segi jumlah tontonan menerusi YouTube.

“Saya bersyukur lagu ini dipilih menjadi lagu tema drama. Diakui, ia sangat membantu dari segi promosi. Maklum balas diterima sangat cepat.

“Sebelum ini, kalau nak promo lagu sangat terhad. Tidak semua stesen radio akan mainkan lagu. Jadi, ia rahmat buat saya lagu ini diberi peluang untuk menghiasi drama popular.

“Sebenarnya, saya nak berterima kasih kepada Kamal kerana memperkenalkan lagu ini kepada pihak produksi. Alhamdulillah, selepas diperdengarkan, mereka tertarik kerana sesuai untuk drama ini,” katanya.

Bercerita mengenai lagu itu, Afif berkata, ia diinspirasikan daripada pengalaman kisah cinta rakannya.

“Kawan baik saya ini berkongsi kisah putus cinta rakannya yang ditinggalkan teman wanita secara tiba-tiba. Namun, situasi tergantung tanpa sebab itu saya ceritakan dalam lagu ini.

“Pada masa sama, saya mendapat sokongan daripada rakan baik itu untuk menyiapkan lagu ini. Dia beria-ia nak saya siapkan. Namun, belum sempat siap dia meninggal dunia.

“Apabila saya kaji lagu ini, ia seperti ada kena-mengena dengan dirinya. Saya terus berfikir, patutlah arwah nak sangat saya siapkan dan nyanyikan sendiri,” katanya.

Menurut Afif, rakannya itu juga sempat menyiapkan satu lirik lagu yang menceritakan kisah hidupnya.

“Buat masa sekarang, saya dalam proses menyiapkan lagu ini yang bakal menjadi lagu kedua saya. Sama macam lagu Nadi, dia pesan lirik itu digunakan dalam lagu berikutnya.

“Saya anggap ini satu amanah, jadi saya mesti siapkan juga,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 12:00pm
d