rap

Terima kasih Akhyar, Farizal - Ukays

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KETUA kumpulan dan pemain keyboard kumpulan Ukays, Amy mengakui sangat berterima kasih kepada dua pemain bola sepak skuad Piala Suzuki AFF negara, Akhyar Rashid dan Farizal Marlias kerana membantu mempopularkan single terbaru mereka berjudul ‘I Love You, I Miss You’ kepada peminat.

Amy atau Azmi Hassan berkata, dia dan anggota kumpulannya iaitu Muhammad Zakir Roslan (penyanyi), Muhamad Afiq Faiz Amir (gitar), Ahmad Fauzi Mat Saad (bass) dan Mohamad Ali Ripin (drum) terkejut kerana jumlah muzik video lagu itu sudah mencecah lebih 7.5 juta tontonan di YouTube.

“Tiada apa boleh saya ucapkan kecuali terima kasih kepada kedua-duanya kerana mencetuskan trending dan tular untuk lagu I Love You, I Miss You.

“Awalnya perjalanan lagu ini amat perlahan dan jumlah tontonan di YouTube hanya sekadar dua juta sahaja.

“Tidak dinafikan jumlah peningkatan sekarang amat mendadak dan kami tak sangka boleh mencecah jumlah setinggi ini,” katanya kepada Harian Metro.

Akhyar yang juga pemain sayap sensasi dan Farizal (penjaga gol) skuad Harimau Malaya kerap menyanyikan lagu ciptaan Amy ketika menyertai skuad kebangsaan semasa perlawanan Piala Suzuki AFF yang berlangsung pada Disember lalu.

Mereka turut memuat naik rakaman mereka ke laman sosial menyebabkan lagu itu tular dan jumlah pendengar meningkat.

Menurut Amy, dia ada menghubungi kedua-dua pemain itu untuk memberikan mereka peluang merakamkan semula lagu itu dalam bentuk versi baru di studio dan masih menunggu saat sesuai.

“Saya nak masukkan suara mereka dan tampilkan mereka dalam muzik video sekali. Ini sebagai penghargaan saya buat mereka.

“Rakaman dimuat naik menunjukkan mereka menyanyi dalam bas, bilik latihan dan dalam kereta, kalau boleh biarlah mereka rakam secara sempurna dalam studio.

“Pada dasarnya mereka bersetuju, tapi hanya menanti masa sesuai kerana jadual latihan mereka bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) amat padat,” katanya.

Amy berkata, Akhyar memberitahu amat menggemari rentak lagu I Love You, I Miss You dan pasti akan menyanyikannya ketika mahu mandi, makan, tidur dan berjalan.

“Ia adalah lagu wajib buatnya setiap hari. Akhyar mulanya layan lagu Rythm Si Jantung Hati di YouTube.

“Dia seterusnya nampak muzik video lagu I Love You, I Miss You. Sejak itulah dia terus minat dan melekat dengan lagu ini sampai sekarang.

“Kemudian dia buat rakaman lagu ini dan muat naik di laman sosialnya. Seterusnya Radio Era pula kongsi membuatkan lagu ini terus meletup,” katanya.

Katanya, tidak ketinggalan program Johara Pagi Era turut menjadikan lagu itu sebagai lagu tema membuatkan popularitinya semakin meningkat.

“Ini rezeki anak saya yang kini berusia empat bulan. Saya difahamkan pemain pasukan JDT sekarang dah mula demam lagu ini dan mula tular di sana.

“Dijangkakan jumlah tontonan di YouTube akan meningkat dan kami sasarkan sekitar 11 juta pula,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 3:16pm
d