rap

Ain ganti Shahrol Shiro?

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PELAKON dan pengacara, Ain Sufia menafikan dia menggantikan Shahrol Shiro sebagai penyampai radio Suria FM di segmen Team Pagi Suria bermula hari ini.

Ain berkata, dia terkejut apabila ada pendengar stesen radio itu menganggap dia benar-benar menggantikan Shahrol yang tamat kontrak sebagai penyampai radio Suria FM sejak 11 Januari lalu.

"Siapalah saya nak menggantikan Shahrol yang memang ada pengikutnya tersendiri. Saya tampil dalam segmen itu berganding dengan Fizi Ali kerana menggantikan Issey yang bercuti selama seminggu,” katanya.

Bagaimanapun, Ain menganggap kata-kata peminat stesen radio itu adalah satu doa dan siapa tahu mungkin rezekinya menjadi penyampai radio di situ.

"Peluang diberikan Suria FM untuk menggantikan Issey yang sedang bercuti adalah peluang serta medium yang sudah lama saya tunggu," katanya yang pertama kali mencuba nasib sebagai penyampai radio.

Anggota kumpulan Awok yang bakatnya dicungkil melalui program Bintang Mencari Bintang di TV3 ini berkata, dia mahu menggunakan peluang selama seminggu ini dengan sebaik-baiknya.

Apatah lagi dia pernah menyimpan impian menjadi penyampai radio sejak sekolah lagi.

"Setakat hari pertama baik-baik saja, cuma agak kekok kerana kebiasaannya saya dipanggil sebagai artis jemputan tapi kali ini bergandingan dengan Fizi.

“Jadi, saya kena biasakan tugasan mencari topik, cerita 'viral' (tular), jawab panggilan, baca pesanan WhatsApp dan cepat mengaitkan semua itu sejurus selepas iklan untuk memulakan perbualan," katanya.

Ain berkata, dia mula mendapat rentak apabila masuk jam kedua dalam segmen yang bermula dari jam 6 pagi hingga 10 pagi setiap hari itu.

Selain itu, dia juga perlu biasakan diri untuk bercakap lebih lancar supaya tidak tersangkut-sangkut.

“Pengalaman apabila ramai menghubungi dan menghantar WhatsApp berbincang topik yang saya cadangkan, seronok dia lain macam! Seperti anak dapat semua A dalam UPSR lah!" katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 1:30pm
d