rap

Putera Muhammad belum mengalah

Oleh Ardini Sophia Sina

PENYANYI Putera Muhammad, 27, mengakui hampir putus asa melihat kerjaya seninya yang belum mempunyai perubahan ketara walaupun sudah empat tahun dalam industri.

Bagaimanapun, Putera Muhammad yang memulakan karier nyanyian dengan lagu Ada Kamu kini lebih matang dan tidak terlalu mencuba serta menyerahkan sepenuhnya pada rezeki.

“Beberapa bulan lalu, saya hampir putus asa kerana walaupun sudah empat tahun dalam industri tetapi momentun kerjaya agak perlahan dibandingkan penyanyi baharu lain.

“Mungkin disebabkan pertambahan usia, ia menjadikan saya lebih matang. Saya tidak lagi seperti awal dahulu yang meletakkan harapan terlalu tinggi. Kini, cuma follow the flow.

“Buat masa ini, saya lakukan apa saja yang boleh untuk mengembangkan kerjaya seni. Dan selebihnya, saya serahkan pada rezeki,” katanya.

Baru saja selesai pengajian Sarjana Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada bulan lalu, Putera kini sedang mempromosikan lagu keduanya berjudul Putus.

Malahan, Putera juga sedang mengumpul material untuk lagu ketiganya yang bakal dilancarkan pada Mac hadapan.

“Saja baru habis belajar dan majlis konvokesyen berlangsung pada penghujung tahun ini. Oleh itu, masa yang terluang saya gunakan untuk mempromosikan lagu kedua berjudul Putus.

“Walaupun dua lagu genre balada itu belum cukup memberikan impak besar pada kerjaya tetapi saya tidak kecewa. Saya sudah rancang untuk tampil dengan genre berbeza untuk lagu ketiga pada Mac hadapan,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 2:50pm
d