rap

Janda Anak Enam lagu terbaru Amelina

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI, Amelina berkongsi single terbarunya Janda Anak Enam menceritakan kisah hidupnya sebagai ibu tunggal sejak lima tahun lalu.

Amelina, 45, atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin berkata lagu itu juga ditujukan secara sinis kepada semua lelaki dan wanita yang senasib dengannya.

“Lagu ini secara sinis mengisahkan kisah rumah tangga yang dilalui bersama bekas suami. Dalam erti kata lain, saya mewakili suara wanita berstatus Ibu tunggal lain. Ini kerana selepas bercerai kita tak tahu kehidupan macam mana.

“Jadi selepas bercerai baru kita boleh buktikan kepada orang yang kita boleh berjaya dan hidup tanpa suami. Apa yang penting jangan mudah putus asa. Insya Allah, rezeki tetap ada.

“Sejujurnya, tak susah nak menyanyi dan menghayati lagu ini sebab saya menjadi diri sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Amelina ditemui di lokasi penggambaran drama Patah Sayap Bertongkat Paruh di Klang berkata, lagu ciptaan adik Iwan Dangdut yang dikenali sebagai Kucing Manja adalah kesinambungan lagu Anak Dara yang diterbitkan 20 tahun lalu.

“Alhamdulillah, sambutan dan maklum balas lagu itu baik walaupun sesi promosi belum dijalankan secara meluas. Selepas sebulan muzik video lirik dilancarkan, ia sudah ditonton lebih 150,000 di YouTube.

“Insya Allah, lagu ini menjadi pembuka jalan kepada penerbitan mini album dangdut saya yang dijangka diterbitkan tahun ini,” katanya.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam drama terbitan Zeel Production Sdn Bhd, Amelina berkata ia drama pertama lakonannya yang membabitkan banyak babak.

“Pada mulanya saya fikir watak saya hanya kemunculan istimewa. Tetapi tidak sebab watak saya adalah watak pembantu dan membabitkan banyak babak.

“Apabila dah terbabit selama tiga hari, diakui bukan mudah nak jadi pelakon. Saya tabik kepada pelakon kita. Memang penat juga sebab kita kena menjadi orang lain,” katanya yang melakonkan watak Maznah.

Drama 14 episod arahan Along Kamaludin itu turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Fasha Sandha, Elly Mazlein, Cat Farish, Zarul Husin, Jalil Hamid, Lydiawati dan ramai lagi.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 6:05pm
d