rap

Fasha-Aidil nikah Mac

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Fasha Sandha berkongsi bakal melangsungkan pernikahan dengan tunangnya yang juga pelakon, Aidil Aziz, 32, pada penghujung Mac ini.

Fasha, 35, atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan berkata, majlis nikah dan bersanding akan diadakan di Perlis dan majlis sebelah lelaki berlangsung di Rembau, Negeri Sembilan.

“Saya dan Aidil memang merancang nak nikah hujung Mac ini. Majlis diadakan di Perlis atas permintaan mak saya. Malah, untuk majlis nikah akan dibuat di masjid.

“Kami takkan berahsia. Insya Allah, saya akan berkongsi lanjut dan menjemput rakan media untuk hadir.

“Untuk majlis di sebelah lelaki pula, perancangannya pada April. Pada majlis itu, kami turut menjemput peminat hadir. Jumlah jemputan 5,000 orang,” katanya kepada Harian Metro.

Fasha yang ditemui di lokasi penggambaran Patah Sayap Bertongkat Paruh mengakui belum membuat sebarang persiapan untuk majlis perkahwinannya.

“Macam sekarang saya masih sibuk berlakon dan penggambaran drama Patah Sayap Bertongkat Paruh dijangka tamat pada 18 Februari. Kemudian, saya ada projek lain yang menanti.

“Ada dua bulan lagi sebelum majlis. Sejujurnya, saya belum ada sebarang persiapan. Berbanding Aidil, dia sudah buat sedikit demi sedikit seperti beli kain untuk keluaganya.

“Perancang perkahwinan sudah ada, tetapi saya belum ada masa untuk berjumpa dan berbincang. Saya nak selesaikan dahulu soal kerja baru boleh fikir mengenai majlis kahwin,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 18 November lalu.

Fasha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putra Rayfal berusia lima tahun dan Putri Raysha Jemyma, 4.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam drama arahan Along Kamaludin itu, Fasha berkata dia melakonkan watak Aliah yang dianggap mencabar dari segi karektor.

“Ini watak berat dan karektor sangat mencabar. Saya pula bergandingan dengan Datuk Aaron Aziz dan Zarul Husin. Kedua-dua mereka bagus dan senang bekerjasama.

“Saya nak berterima kasih kepada Zeel Production kerana memilih saya untuk melakonkan watak utama ini. Saya anggap ini rezeki anak-anak,” katanya.

Selain Fasha, drama 14 episod itu turut menampilkan Elly Mazlein, Amelina, Ika Nabella, Jalil Hamid, Lydiawati dan ramai lagi.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 9:59am
d