rap

Jue solat istikharah sebelum bercerai

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA lakukan solat istikharah memohon petunjuk Allah SWT sebelum membuat keputusan untuk bercerai.

“Bukan mudah bagi saya membuat keputusan ini tetapi selepas solat itu, akhirnya saya dapat kekuatan untuk membuat keputusan paling besar dalam hidup ini,” kata pelakon Jue Aziz, 35, mengulas mengenai perceraiannya dengan pemuzik Indonesia, Bayu Pramana Putra Achmal.

Jue atau nama sebenarnya, Zuliana Abdul Aziz berkata, dia sudah berbincang dengan Bayu sebelum mengambil keputusan untuk bercerai itu.

“Pada mulanya, Bayu tidak mahu melepaskan saya tetapi selepas perbincangan lanjut akhirnya dia akur dengan keputusan ini.

“Apa yang penting saya perlu memikirkan kebahagiaan anak dan keluarga. Apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah dan jodoh kami sampai di sini saja,” katanya.

Bagaimanapun, Jue enggan berkongsi bila tarikh mereka bercerai dan apa puncanya.

Ditanya kenapa dia merahsiakan perceraiannya itu sehingga habis tempoh edah, Jue berkata, ramai yang tidak tahu dia sudah bercerai kerana agak menyepi dalam kerjaya sebagai pelakon.

“Saya tampil membuat pengakuan mengenai perceraian ini kerana tidak mahu timbul sebarang fitnah selepas ini.

“Saya tidak mahu orang bercakap perkara yang tidak betul mengenai rumah tangga apabila saya hadir ke mana-mana majlis tanpa ditemani suami selepas ini,” katanya.

Anak angkatnya, Darwish Naufal, 5, kini berada dalam jagaannya selepas mereka bercerai.

Dalam masa sama, Jue turut menafikan perceraian mereka disebabkan tidak mempunyai anak selepas lima tahun berkahwin.

“Kami bercerai secara baik dan hubungan masih baik sampai sekarang. Justeru, tidak perlu untuk saya mengaibkan mana-mana pihak pun,” katanya.

Jue berkahwin dengan Bayu pada 9 Mac 2014 tetapi perkahwinan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 11:55am
d