rap

Zee Avi nak jejaka makan ulam

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA seorang yang ringkas dan mencari pasangan hidup sekepala serta memahami karier seni.

“Paling penting, jejaka itu perlu menerima makanan yang saya suka seperti ulam.

“Saya juga tidak gemar barangan berjenama mewah, kalau ada jodoh untuk berkahwin, saya mahukan peralatan muzik sebagai hantarannya,” kata penyanyi terkenal yang mengembangkan kerjayanya di Amerika Syarikat, Zee Avi ketika ditanya kriteria lelaki idamannya.

Menurut pemilik nama sebenar Izyan Alirahman, 32, dia juga mencari pasangan hidup yang unik sama seperti dirinya.

“Tidak semestinya jejaka itu terbabit dalam bidang seni atau pemuzik.

“Apa yang penting, dia boleh menerima kerjaya saya sebagai penyanyi dan pencipta lagu yang sering bekerja dengan kaum lelaki ketika berkarya,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya dirinya yang tidak pernah lupa asal-usul walaupun sudah mencipta nama di peringkat antarabangsa, kata Zee, Malaysia tetap di hatinya sejak dulu.

“Sebenarnya, saya sudah kembali ke Kuala Lumpur sejak setahun lalu.

“Walaupun hampir 12 tahun berhijrah ke luar negara dan sering mendapat undangan persembahan, saya tetap selesa untuk berada di Malaysia.

“Perasaan dapat menjejakkan kaki di tanah air sendiri tidak sama ketika kita berada di negara orang.

“Saya akui semakin berasa berat hati untuk meninggalkan Malaysia sekarang,” katanya.

Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Kantoi itu bakal mengadakan konsert bersama penyanyi NJWA sempena Hari Wanita Antarabangsa 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 22 Mac ini.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 11:47am
d