rap

PSY tubuh kumpulan

Oleh Georgie Joseph

ANNYEONGHASEYO! Sudah layak dilabel legenda, PSY nampaknya tidak menunjukkan sebarang petanda mahu bersara daripada industri hiburan.

Kerjayanya sekarang mungkin tidak meriah seperti dulu, namun dia ada perancangan lebih besar.

Terbaru, penyanyi yang popular dengan lagu Gangnam Style itu dikhabarkan dalam persiapan untuk memperkenalkan kumpulan baru di bawah syarikat rakamannya sendiri iaitu P-NATION yang ditubuhkan selepas meninggalkan syarikat pengurusan YG Entertainment pada Mei tahun lalu.

Menurut sumber terdekat, PSY mengadakan banyak uji bakat di beberapa akademi tarian dan vokal semata-mata mahu mencari bakat terbaik.

Dia juga mengintai untuk mengambil pelatih dari syarikat rakaman lain.

Ternyata, PSY tidak mahu sambil lewa dan serius mendapatkan sebuah kumpulan yang benar-benar berkualiti.

Malah, dia turut mengupah pengurus khas daripada syarikat popular menjadi jurulatih kumpulan itu nanti.

“Agensi PSY baru-baru ini sudah membuka syarikat sendiri dan dalam proses mencari ramai pelatih. Mereka begitu agresif menubuhkan sebuah kumpulan dan mengupah pengurus khas dari sebuah syarikat ternama,” kata sumber itu.

Perkhabaran itu jelas menarik perhatian seluruh industri muzik memandangkan PSY adalah antara penghibur, penulis lagu dan penyanyi tersohor.

Lagunya seperti Gangnam Style dan Gentleman berjaya mencipta fenomena luar biasa di seluruh dunia.

Bukan saja berjaya menghasilkan lagu sendiri yang cukup hebat, dia turut menjadi tulang belakang kejayaan lagu penyanyi popular lain.

Antaranya Lee Seung Gi menerusi lagu Because You’re My Woman dan Seo In Young (Cinderella).

Seorang lagi penyanyi yang sah bernaung di bawah P-NATION ialah Jessi.

Bagaimanapun, PSY belum mengeluarkan sebarang kenyataan bila kumpulan baru itu akan diperkenalkan.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 12:03pm
d