rap

Ifan kenang isteri dengan puisi

Oleh Norhayati Nordin

MESKIPUN sudah sebulan Dylan Sahara meninggal dunia, namun ingatan vokalis Seventeen, Ifan, 36, masih bersedih mengingati pemergian isterinya.

Luahan kedukaan itu dikongsikan menerusi foto perkahwinan yang dimuat naik Ifan di Instagramnya (IG) beberapa hari lalu.

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Kemarin itu menulis puisi puitis yang menggambarkan perasaan sebenar hatinya.

Nukilan puisi indah boleh dianggap luahan rindu yang sarat ditanggung Ifan terhadap Dylan yang terkorban akibat Tsunami Selat Sunda pada 22 Disember lalu.

"Percayalah aku juga tak akan di sini, karena memang tempat kita tidak di sini. Kita akan berjumpa dengan senyuman. Di naungan sang pemilik jiwa.

"Perlahan aku kan belajar, membunuh ego yang klise ini. Karena sudah harusnya manusia, kembali pada hakikat penciptaan.

"Kamu adalah jalan cintaku pada-Nya. Kamu mendekatkan aku pada-Nya. Sungguh baik lakumu duhai kekasihku, menghantarkan aku Pada-Nya.

"Aku adalah jalan cintamu pada-Nya, akan kuhantarkan doa terbaik untukmu. Karena doa, adalah jendela pertemuan kita saat ini, hingga kita berjumpa di bawah naungan-Nya," tulisnya.

Ia secara tidak langsung menggambarkan juga betapa Ifan berusaha menguatkan semangatnya untuk meneruskan hidup bersendiri tanpa isteri tercinta di sisi.

Sehubungan itu, nukilan puisi berkenaan mendapat lebih 800,000 'likes' daripada sebahagian pengikut IG Ifan yang mencecah sebanyak 2.9 juta orang.

Bahkan, di ruangan komen pula sebanyak 8,818 komen ditinggalkan yang kebanyakannya menjurus pada kata-kata semangat buat Ifan.

Ifan atau nama sebenarnya, Riefian Fajarsyah berkahwin dengan Dylan pada 2016 dan mereka dapat hidup bersama selama dua tahun.

Selain Dylan, tragedi Tsunami Selat Sunda di Pantai Tanjung Lesung Beach Resort, Banten itu turut mengorbankan empat anggota kumpulan Seventeen iaitu Bani selaku pemain bass, Yudhi (gitar), Herman (gitar) dan Andi (dram).

Turut terkorban dalam bencana tragis itu ialah pengurus Seventeen iaitu Oki Wijaya serta kru dikenali sebagai Ujang.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 5:52pm
d