rap

Biarlah rahsia...

Oleh Norhayati Nordin

PELAWAK dan pengacara Ajak Shiro nafi menyumbangkan sebahagian wang kemenangannya selaku juara Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) kepada Ebby Yus.

Ajak, 33, ketika dihubungi sebaliknya merahsiakan jumlah sebenar wang sumbangan diberikan kepada Ebby dan tidak mahu ia diuar-uarkan.

“Cuma, apa yang nak dijelaskan, sumbangan itu bukan datang daripada saya seorang, tetapi rakan pelawak lain pun turut sama mengumpulnya.

“Kami sepakat mahu membantu abang Ebby yang dianggap sebagai mentor kepada barisan pelawak tanah air pada masa kini.

“Jadi, bagi menyampaikannya kepada abang Ebby, sempena rakaman program Maharaja Lawak Mega Raya pada Ahad lalu, dia diundang oleh kami sebagai tetamu,” katanya.

Menurut Ajak, memahami sikap Ebby yang enggan menagih simpati membuatkan dia bersama rakan pelawak lain merancang program khas itu.

“Abang Ebby pun ada memberitahu kami, dia takkan menghadiri rakaman program itu sekiranya tahu ada acara penyampaian sumbangan buatnya.

“Saya melihat, abang Ebby sebagai individu yang kuat semangat. Dia tidak mengharapkan simpati rakan-rakan sebaliknya memerlukan pekerjaan.

“Dia masih gigih mahu bekerja dan saya bersama pelawak lain sebenarnya sangat kagum dengan semangatnya itu,” katanya.

Ajak atau nama sebenarnya Mohamad Hanafi Razak berkata, dengan penjelasan itu, pihaknya berharap tidak ada pihak lain yang terasa hati.

Ujarnya, dia juga sudah menjelaskan perkara sebenar kepada Ebby dan syukur pelakon komedi terkenal itu boleh menerima dan memahaminya.

Ajak memberitahu, dia sangat menghormati kerjasama diberikan rakan pelawak lain yang membantu dan tidak adil jika fokus terarah kepada dirinya.

“Saya pun bukanlah individu yang gemar menunjuk-nunjuk dalam membuat kebajikan. Apatah lagi mahu mengejar nama dan pujian.

“Apapun, terima kasih diucapkan kepada semua pengikut Instagram (IG) yang mengirim mesej langsung (DM) kepada saya dengan memuji tindakan itu.

“Terus-terang, saya berasa sangat malu dan segan dengan pujian diberi kerana usaha itu bukan daripada saya seorang tetapi rakan lain juga turut sama membantu,” katanya.

Terdahulu, Ebby atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid, 55, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan sudah setahun tidak bekerja.

Pelakon sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) di TV3 itu mengalami masalah berkaitan jantung dan buah pinggang bocor.

Berita berkaitan

'Sanggup dia berkorban untuk saya...' - Ebby Yus

Ebby Yus enggan susahkan keluarga [METROTV]

'Saya tak nak ambil kesempatan...'

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 6:56pm
d