rap

'Suka-suka guna gambar, nama saya'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI Datuk Nassier Wahab mengakui kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menggunakan gambar dan namanya dalam iklan atau promosi produk di Internet.

Nassier, 57, berkata dia terkejut apabila ramai kawan-kawan dan peminat yang menghubunginya bagi bertanyakan perkara terbabit.

“Saya memang terkejut dikaitkan kerana tidak tahu-menahu atau ada kena mengena langsung dengan apa yang dilakukan.

“Sekali lagi saya tegaskan saya tak terbabit dalam sebarang iklan atau promosi untuk pihak ini.

“Sekiranya terus berleluasa dan menipu masyarakat saya akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, buat masa ini dia belum membuat sebarang laporan polis kerana mahu menyelesaikan secara baik dengan pihak terbabit.

“Saya sudah cuba menghubungi syarikat terbabit dan masih menunggu respons mereka.

“Sudah sampai masanya kita perlu mengambil tindakan tegas agar tidak ada mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya menggunakan gambar artis dan maklumat artis tanpa kebenaran,” katanya.

Pada 2017 lalu, penyanyi yang popular menerusi lagu Sekali Aku Jatuh Cinta ini diangkat sebagai Duta DBI Technology milik Datuk Boy Iman (DBI) atau nama Norul Iman Abdul Rahman yang menerajui DBI Properties Sdn. Bhd.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 8:09pm
d