rap

Keserasian tambat peminat

Oleh Najiy Jefri

IBARAT merpati dua sejoli. Sama cantik, sama padan, begitulah gandingan mantap Remy Ishak dan Mira Filzah menerusi dua drama rantaian yang kini bersiaran di kaca televisyen hingga menjadi bualan ramai.

Melihat keserasian dua bintang ini yang persis pasangan sebenar membuatkan penonton tidak senang duduk untuk terus menyaksikan aksi mereka dalam menterjemahkan watak dibawa.

Paling menjadi sebutan ketika ini ialah watak Megat Danish dan Tiara menerusi drama Pujaan Hati Kanda di slot Akasia, TV3. Ia membawa perubahan besar dalam hidup Remy dan Mira apabila masing-masing menerima simbahan cahaya populariti yang luar biasa.

Gandingan Remy dan Mira punya magis tersendiri apabila drama yang bakal melabuhkan tirai Isnin ini apabila menduduki carta teratas sohor kini di Twitter serta YouTube setiap kali bersiaran.

Remy mengakui selesa bekerjasama dengan Mira kerana wanita itu komited ketika bekerja dan tahu apa yang diingininya.

“Saya selesa bekerja dengan Mira kerana dia memiliki peribadi yang molek. Tiada aura negatif dalam dirinya malah, kehadirannya selalu bawa tenaga yang baik buat orang sekeliling.

“Jadi, kami seronok bekerja sepanjang penggambaran. Bukan saja Mira tapi semua pelakon dalam Pujaan Hati Kanda turut memberikan kerjasama yang baik. Bagi saya, drama ini tidak akan ‘menjadi’ tanpa semangat dan usaha keras semua pihak,” katanya.

Remy juga bersyukur apabila drama berkenaan mendapat sambutan luar biasa dan menyifatkan ia sebagai pembuka rezeki tahun baru.

Ditanya mengenai harapan peminat serta penonton untuk melihat gandingan serasi mereka berpanjangan dan berputik rasa cinta di luar lokasi penggambaran, Remy berkata apa yang berlaku dalam hidupnya nanti adalah ketentuan Tuhan.

“Kalau kata kami tiada apa-apa, nanti tiba-tiba terjadi pun susah. Kalau cakap jadi sebenarnya kami tiada apa-apa hubungan itu pun susah juga. Bagi saya, ini semua urusan Tuhan.

“Saya akui ramai orang berharap, lebih-lebih lagi apabila mereka seronok melihat keserasian yang wujud dalam drama. Kalau boleh mereka mahu ‘hubungan’ itu berlaku di luar drama tetapi kita tak boleh penuhi keinginan dan permintaan peminat,” katanya.

Hampir empat naskhah beraksi bersama iaitu drama yang turut disiarkan di Astro Oasis ketika ini, Lelaki Kiriman Tuhan dan dua filem Rise: Ini Kalilah serta Sangkar yang bakal menemui penonton di pawagam tidak lama lagi pastinya memberi nilai tambah kepada mereka untuk merencana hala tuju setiap watak.

Meskipun kerap bergandingan, Remy tidak menolak untuk kembali bekerjasama dengan Mira pada masa akan datang.

“Tiada terfikir untuk berehat seketika daripada bergandingan dengan Mira. Kalau ada rezeki digabungkan lagi saya okey saja. Cuma, sekarang ini saya nak berehat sebentar kerana tahun lalu sibuk dengan penggambaran drama dan filem.

“Saya tidak melihat gandingan ini perlu direhatkan kerana masing-masing fokus dengan kerja. Mira pelakon yang komited dan dia selalu mahu belajar perkara baru.

“Saya juga ada berkongsi ilmu yang dimiliki. Mira meletakkan kerjaya lakonan sebagai platform untuk menjenamakan dirinya. Jadi, dia perlu pastikan lakonannya itu dibawakan dengan sebaik mungkin. Begitu juga dengan saya yang berkongsi hala tuju sama.

“Disebabkan itu kami fokus dengan misi ini dan tidak kisah bergandingan bersama pada masa akan datang asalkan ia bawa impak positif kepada karier,” katanya.

Mira fokus kualiti

Diajukan soalan sama, Mira berkata dia tidak meletakkan had untuk bergandingan dengan Remy.

“Kami mula dipertemukan dalam filem Sangkar, kemudian Rise: Ini Kalilah. Menerusi Sangkar, kami bertentangan mata buat pertama kalinya dan mula mengenali antara satu sama lain. Mujur, saya melakonkan watak sebagai adiknya.

“Apabila berlakon dalam filem itu, hubungan kami kian serasi. Mungkin ada yang menganggap Remy sukar didekati tetapi sebenarnya dia gila-gila juga orangnya.

“Secara peribadi, Remy peramah dan tidak seperti yang kita dengar. Hanya karakternya yang nampak serius tetapi Remy senang berbual dengan sesiapa saja,” katanya.

Kata Mira, jika diberikan peluang berlakon dengan Remy, dia tidak akan memilih watak.

“Selagi naskhah yang ditawarkan itu mempunyai mesej positif dan bagus, saya akan terima. Takkan disebabkan kerap muncul bersama saya perlu meletakkan had berapa kali boleh berlakon dengannya.

“Tahun ini saya mencari sesuatu yang berbeza untuk mencabar diri sebagai pelakon.

“Bukan apa, tahun lalu apabila apa yang dirancang tidak menjadi saya berasa sedih dan kecewa, tapi tak sangka sesuatu yang tidak dirancang cantik pula susunannya.

“Jadi, tahun ini saya hanya ikut apa yang sudah ditentukan. Bagaimanapun, saya teringin cuba kembangkan bakat di layar perak dan pentas teater,” katanya.

Namanya semakin utuh dalam arena lakonan, Mira tidak lagi memikirkan soal populariti sebaliknya mahu fokus terhadap kualiti dan mengasah bakat.

“Saya menyimpan impian untuk memenangi anugerah hasil pilihan juri. Bagi saya, apabila kita menjiwai lakonan dengan berkesan, populariti akan datang dengan sendirinya.

“Alhamdulillah, permulaan 2019 berjalan dengan baik. Ada yang bertanya kenapa tahun lalu kurang berlakon drama, sebenarnya saya terikat dengan beberapa komitmen lain seperti mengacarakan program Nona serta bergerak aktif sebagai ‘influencer’.

“Insya-Allah, dalam waktu terdekat ini saya akan terbang ke Sydney, Australia bersama Persatuan Payung Terjun Malaysia untuk melakukan aktiviti itu di sana.

“Saya kini dilantik sebagai duta dalam persatuan itu selepas sukan terbabit baru saja diiktiraf di Malaysia,” katanya yang menggemari aktiviti lasak.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 8:41am
d