rap

Reen 'teringin'

Oleh Ardini Sophia Sina

PELAKON Reen Rahim yang kini popular dengan watak Kak Su mendedahkan dia menyimpan hasrat untuk menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) suatu hari nanti.

Kata pelakon yang pernah menjadi juara Pilih Kasih musim ketiga pada 2012, sebagai pelakon, pastinya dia mempunyai impian dan sasaran tersendiri yang ingin dicapai.

"Apabila seseorang itu bergelar anak seni pasti mempunyai sasaran dan harapan yang ingin dicapainya, begitu juga dengan diri saya.

"Saya berharap agar suatu hari nanti dapat menggenggam anugerah Pelakon Wanita Terbaik di FFM kerana pemilihan dibuat berdasarkan bakat dan bukannya undian peminat," katanya.

Sementara itu, Reen yang mempamerkan lakonan cemerlang dalam drama Pujaan Hati Kanda berkata dia tidak pernah bimbang peminat akan melupakan wataknya sebagai Kak Su sebaik saja siri berkenaan tamat pada Isnin ini.

"Saya tidak risau pun kalau selepas ini penonton lupa dengan watak Kak Su. Apa yang penting pengajaran dan mesej yang ditonjolkan dalam Pujaan Hati Kanda akan terus diingati.

"Sekecil mana pun watak dalam drama itu, setiap karakter dan babak memberikan pengajaran. Kami sudah cukup gembira kalau penonton menjadikannya sebagai teladan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Reen baru saja selesai menjalani penggambaran supertele Puaka Pak Selar untuk tayangan Astro First dan bakal memulakan penggambaran filem berjudul Mawas.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 5:48pm
d