rap

'Mereka akan terus kutuk, keji saya...'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

"SAYA anggap mereka yang terus mengutuk dan mengeji saya selama ini seperti 'anjing menyalak bukit'," kata chef selebriti, Profesor Datuk Redzuawan Ismail, 61, atau Chef Wan.

Beliau berkata sekiranya beliau mahu membaling 'batu' untuk membalas kutukan, mereka akan terus menyalak.

"Selepas isu tempoh hari, tipulah kalau kata tidak beri kesan kepada kerjaya dan kehidupan kerana saya pasti ramai saja yang tidak suka dan menyimpan dendam.

"Sebab banyak manusia yang suka melakukan penganiayaan, kezaliman atas orang dan dendam dan perkara ini semua agama melarang," katanya.

Chef Wan berkata ditemui pada rakaman program masakan untuk saluran Facebook berjudul Ha! Masak Kau di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau bagaimanapun mengakui isu lalu tidak terlalu memberi kesan kepada tanggungjawabnya selaku duta produk.

Sebaliknya, beliau mendakwa kebanyakan syarikat yang bekerjasama dengannya terus memberi sokongan walau pun mereka turut terkena tempias.

Tanpa berselindung, beliau tetap berdiri dengan prinsipnya yakni tiada yang salah untuk bercakap mengenai kebenaran.

"Kalau tidak boleh menerima pendapat saya, tidak kisahlah dan mereka boleh teruskan kehidupan.

"Saya maafkan mereka yang terus berkata-kata dan teruskanlah membuat kebaikan dan mendirikan kebenaran," katanya.

Sebelum ini, beliau dilaporkan mengeluarkan kenyataan mahu menampar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan isu Felda.

Disebabkan kenyataan itu, beliau mendapat kecaman netizen dan ahli-ahli parti politik pihak pembangkang.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 6:28pm
d