rap

Azharina persiap diri

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KONSERT Azharina Queen of Soul yang bakal berlangsung 29 Jun ini di Royale Theatre Shah Alam menyaksikan satu lagi pencapaian terbaik Azharina selepas bergelar juara Bintang RTM 2001 dan Gegar Vaganza musim ketiga (GV3).

Konsert berskala besar yang julung kali diadakan sepanjang 18 tahun pembabitannya sebagai anak seni itu menjanjikan persembahan berbeza.

Malah, meski sebelum ini pernah mengadakan persembahan berbentuk ‘mini showcase’ dan konsert di Lombok, Indonesia, Azharina, 34, atau nama sebenarnya Azharina Azhar mengakui risau dengan harapan tinggi diletakkan peminat.

“Selepas menang GV3, saya mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur. Tiket persembahan habis dijual selain mendapat maklum balas positif daripada peminat dan orang industri.

“Jadi, untuk konsert ini saya risau dengan harapan tinggi yang diletakkan mereka terutama dalam persembahan dan nyanyian. Sudah tentu penonton yang hadir ingin menyaksikan persembahan lebih hebat dan bagus daripada sebelum ini.

“Apa pun, saya cuba untuk berikan yang terbaik. Saya tak nak cakap lebih, cuma apa boleh dikatakan pada malam itu mereka akan menikmati persembahan yang akan diingati sampai bila-bila,” katanya.

Menurut Azharina, dia juga menjadikan konsert penyanyi antarabangsa seperti Mariah Carey, Tony Brexton, Celine Dion, Tina Tunner dan ramai lagi sebagai rujukan.

“Saya meminati mereka. Saya menonton semula konsert yang pernah dibuat untuk dijadikan inspirasi.

“Namun, untuk konsert ini saya cuba buat dengan cara tersendiri. Dalam kepala saya ada banyak idea. Cuma, saya dan pasukan belum duduk berbincang sepenuhnya persembahan macam mana yang bakal ditampilkan.

“Antaranya, saya nak terbang dan macam-macam lagi. Namun, ia masih dalam perancangan. Soal pakaian pun saya sudah ada rekaan bagi disesuaikan untuk setiap segmen,” katanya.

Mengakui penganjuran konsert bukan semudah yang difikir, Azharina berkata dia perlu membuat persiapan rapi. Antara yang dititikberatkan adalah stamina dan berat badan.

“Sekarang, saya sudah mula mengamalkan diet cecair dan makan sayur saja. Kalau nak dapat bentuk badan asal memang susah, jadi saya buat setakat yang mampu. Apa yang penting saya sihat dan cukup stamina.

“Memang seksa dan ‘sakit’ sangat apabila mula berdiet. Pada hari pertama saya menggigil dan cirit-birit. Nak buat macam mana, saya kena juga kurangkan berat badan,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai konsert itu, persembahan Azharina bakal diiringi pemuzik orkestra, koir dan pengarah muzik berpengalaman.

Selain itu, sesuatu yang cukup menggembirakan apabila Azharina bakal berduet dengan penyanyi luar negara yang amat dikenali.

“Insya-Allah, saya akan menyanyikan semua lagu popular saya dan beberapa lagu lain. Antaranya, Elegi Sepi, Seandainya, Rawan, Rasa, Lakar Janji dan banyak lagi. Dalam masa sama, pihak pengurusan masih dalam perancangan menghasilkan single baharu khas untuk konsert ini.

“Bagi segmen duet, saya akan menampilkan penyanyi hebat. Memandangkan ia masih dalam proses perbincangan, saya tak boleh dedahkan siapa orangnya. Pada sidang media kedua nanti saya akan perincikan satu persatu,” katanya.

Konsert itu nanti juga akan menyelitkan mesej buat renungan penonton khususnya remaja betapa bahaya najis dadah.

Malah, penganjur juga bercadang menyalurkan sumbangan wang tunai kepada agensi berkaitan.

Konsert itu mendapat sokongan Kelab SUK Selangor melalui Kelab SPBT selain bekerjasama dengan Kelab Sukan dan Kebudayaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, FUFC The Fighters dan Pemadam Negeri Selangor.

Tiket sudah mula dijual di www.atlasoneevents.com pada harga RM288 (VIP), RM188 (kategori A), RM158 (kategori B) dan RM108 (kategori C).

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 8:16am
d