rap

Warga Macau kerumuni 'Sweet Table' Fazley

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI dan Chef Selebriti, Datuk Fazley Yaakob menunjukkan skil hidangan unik ‘Sweet Table’ yang tular di Malaysia sebelum ini kepada penduduk Macau, China, hari ini.

Kira-kira 50 warga Macau mengerumuni ruang legar Restoran Tapas De Portugal bagi menyaksikan persembahan ‘Sweet Table’ yang diilhamkannya selain dibantu oleh ketua chef restoran terbabit, Ricardo Alves.

Fazley yang kini berada di Macau sempena Teroka Halal Ke Macao anjuran SukaSucre Creatives, Macao Government Tourism Office dan PNL Travel Sdn Bhd itu mengaku teruja apabila dapat berkongsi hidangan unik terbabit hasil gabungan Malaysia dan China.

“Sweet Table ini antara hidangan yang popular di restoran saya, Suka Sucre Bistro dan ia pernah tular sebelum ini.

“Jadi saya kongsikan hidangan unik ini kepada warga Macau. Sekurang-kurangnya saya dapat berkongsi budaya dan manisan Malaysia kepada mereka,”katanya.

Menurut Fazley, sepanjang empat hari berada di Macau sejak semalam, dia bakal meneroka beberapa lokasi menarik dan makanan halal.

“Macau sebenarnya adalah lokasi pelancongan mesra Muslim kerana ia menyediakan bermacam kemudahan untuk pelancong beragama Islam

“Justeru saya mengalas tanggungjawab besar ini untuk membuka mata dan minda orang Malaysia untuk berkunjung ke Macau sebagai salah satu destinasi percutian impian,”katanya.

Antara lokasi menarik akan dikunjungi Fazley bersama rakan media Malaysia adalah Taipa Village Exploration & Taipa Houses, Macao Tower, Ruins of st Paul, Michelin Star Halal Restaurant dan Senado Square.

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 3:26pm
d