rap

Uyaina 'tapis' tawaran berlakon sinetron

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENGACARA yang kini bergelar pelakon, Uyaina Arshad yang menempa nama di Indonesia mengakui, mula menerima tawaran untuk berlakon dalam sinetron.

Menurut pengacara berusia 27 tahun itu, dia bagaimanapun akan bersikap selektif dalam menjaga kualiti kerjanya.

“Alhamdulillah, saya ada menerima beberapa tawaran untuk berlakon dalam sinetron. Namun, kerana jadual yang tidak bersesuaian, saya terpaksa menolak.

“Saya berpesan juga kepada pengurus saya supaya menapis terlebih dahulu tawaran yang ditawarkan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut bekas pengacara program Nona itu, dia tahu, kebanyakan sinetron dan filem TV (FTV) dari negara jiran itu kebanyakannya tidak realistik dan sering menjadi bahan ketawa.

“Saya tahu, ada sinetron dan FTV dari sana yang menjadi bahan ketawa. Jadi, kerana itulah saya meminta supaya pengurus saya menapis setiap tawaran yang diterima.

“Alhamdulillah, dia tunaikan permintaan saya dan sekiranya ada tawaran yang bersesuaian dari segi karya dan jadual, saya akan terima,” katanya.

Di Indonesia, Uyaina diterima dengan baik sebagai pengacara dan kini terikat dengan stesen TV Indosiar.

“Selagi saya masih bersama mereka, saya tidak boleh muncul dalam program yang dianjurkan stesen TV lain. Apa pun, saya sangat gembira dan berbesar hati kerana diterima baik di sana,” katanya.

Di Indonesia, Uyaina pernah mengacarakan beberapa program berskala besar antaranya Aksi Asia 2018 dan D’Academy Asia 4.

Hari ini, drama lakonannya, Lelaki Kiriman Tuhan akan melabuhkan tirai. Selain Uyaina, drama itu juga dibintangi pelakon-pelakon handalan antaranya Mira Filzah dan Remy Ishak.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 12:48pm
d