rap

Kalau dapat RM1 juta pun dah okey - Liyana Jasmay

Oleh Norhayati Nordin

“KALAU penerbit filem lain sudah berjaya mengutip kutipan pecah panggung sebanyak RM40 juta atau RM30 juta, saya pula cukuplah jika dapat meraih RM1 juta untuk filem Bella & Jamie ini.

“Sebagai penerbit filem baru, saya enggan meletak harapan atau angan-angan terlalu tinggi untuk jumlah kutipan kerana paling utama sambutan penonton,” kata pelakon dan penerbit, Liyana Jasmay.

Liyana, 31, ditemui berkata, apatah lagi, untuk merealisasikan filem Bella & Jamie yang menjadi karya pertama terbitan produksinya, Mermaid Studios itu sebanyak RM600,000 sudah dibelanjakan.

“Bukan mudah untuk menerbitkan sesebuah filem. Itu yang saya pelajari sepanjang menyiapkan filem Bella & Jamie ini kerana harus berhadapan pelbagai proses.

“Apapun, saya rasa bertuah dan bernasib baik kerana ramai penggiat seni lain sudi membantu saya yang akhirnya filem Bella & Jamie akan menemui penonton di pawagam mulai 31 Januari ini.

Menurut Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke- 22 (FFM22) itu, dia selesa bersikap jujur dengan penonton mengenai kos penerbitan filem Bella & Jamie kerana baginya tidak guna menipu.

“Penonton filem sekarang bijak kerana mereka sudah mampu menilai kos pembikinan sebenar sesebuah karya itu melalui hasil kualiti dipersembahkan.

“Jadi, buat apa saya nak menipu dan lebih baik berterus-terang. Lagi pun, memang sebanyak RM600,000 saja yang mampu saya kumpulkan untuk kos perbelanjaan filem ini.

“Saya juga tidak menjalin kerjasama tajaan dengan mana-mana pihak untuk bantuan dana penerbitan filem ini. Ia sepenuhnya ditanggung Mermaid Studios sendiri,” katanya.

Penggambaran filem Bella & Jamie dibuat tiga tahun lalu dan kekangan kewangan dihadapi menjadi punca filem berkenaan dapat ditayangkan pawagam tahun ini.

Menurut Liyana lagi, dia lebih gemar bersusah-payah dahulu untuk berusaha mengumpul dana sendiri berbanding menjalin kerjasama penajaan dengan pihak lain.

“Pada saya, bila buat filem dengan menggunakan duit orang memang mudah dan seronok. Malah, saya mungkin akan bersikap sambil lewa pada hasilnya.

“Namun, apabila harus bersusah-payah sendiri untuk mengumpul dana diperlukan, ia kepuasan tidak terhingga yang membuat saya lebih peka dan teliti dengan hasil kualiti diinginkan,” katanya.

Sehubungan itu, Liyana juga memberitahu dia kini dalam memperkasakan usaha #roadto1million untuk mencapai sasaran kutipan filem Bella & Jamie diinginkan.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 10:34am
d