rap

Aksi pemanas badan

Oleh Georgie Joseph

MENJELANG Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33) Ahad ini, beberapa finalis menghiburkan lebih 500 peminat pada Konsert Prelude AJL33, baru-baru ini.

Berlangsung di KL Live, Jalan Sultan Ismail, konsert berkenaan cukup meriah dengan kehadiran peminat tegar mereka.

Ternyata masing-masing sudah tidak sabar melihat aksi finalis kegemaran mereka di pentas itu nanti.

Membariskan Jaclyn Victor, Siti Nordiana, Amylea, Kaer, Sufian Suhaimi, Syamel, Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini, konsert terbabit turut menampilkan penyanyi jemputan seperti Nabila Razali, Ara Johari, Ismail Izzani serta Zaaim Mentor.

Apa yang pasti, mereka sudah tidak sabar untuk memberikan persembahan terbaik Ahad ini.

Tentunya semua berharap persembahan mereka kelak akan membuahkan hasil sekali gus membawa pulang kemenangan.

Menurut Jaclyn yang bakal membawakan lagu Nisan Cinta berduet dengan Siti Nordiana, dia mengidam untuk menang walaupun rasa gementar tetap ada.

“Persiapan yang kami lakukan termasuk berguru dengan Cikgu Syafi untuk memperbaiki vokal. Lagu yang kami bawakan bukan senang terutama pada bahagian harmoni dan nadanya sangat tinggi.

“Saya memang sangat gementar apabila memikirkan lagu itu agak sukar untuk dibawa. Bagaimanapun, saya yakin dengan persiapan yang kami lakukan. Kami akan berikan aksi terbaik.

“Tentu sekali kami mengidam untuk menang pada AJL33 nanti. Baik untuk trofi vokal terbaik mahupun juara lagu itu sendiri,” katanya.

Pada malam itu, Jaclyn membuka tirai konsert dengan mempersembahkan lagu Gemilang yang pernah memenangi AJL20, Ikut Rentakku serta Nisan Cinta bersama Siti Nordiana.

Istimewanya, penonton yang hadir pada konsert berkenaan terdiri daripada golongan muda sekali gus membuktikan AJL33 sememangnya menjadi ikutan pelbagai lapisan umur termasuk generasi millennial.

Faktor ramai finalis daripada kalangan BBNU (Budak Baru Nak Up) juga menjadi penyumbang besar perkara itu. Jelas sekali penyanyi seperti Syamel dan Sufian sememangnya menjadi ikutan ramai anak muda.

Tidak ketinggalan, penyanyi jemputan Ara, Ismail, Nabila, dan Zaaim juga mendapat sorakan luar biasa daripada penonton.

Pada konsert itu, setiap finalis menyanyikan lagu mereka yang akan bertanding di AJL33 nanti. Mereka juga turut menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popular yang lain.

Sementara itu, menurut Sufian, dia mendapat lebih keyakinan untuk beraksi di pentas AJL33 dengan peluang membuat persembahan di konsert prelude itu.

“Sebenarnya, saya baru mendapat balik suara saya selepas jatuh sakit baru-baru ini. Namun, saya selesa membuat persembahan ini dan mendapat kembali tenaga.

“Sedikit sebanyak, ia menambah keyakinan dan keterujaan saya untuk beraksi di pentas AJL33 nanti,” katanya.

Konsert prelude berkenaan yang dihoskan Nana Mahazan, Haziq HotFM dan Aaron Al-Fateh dihadiri lebih 500 penonton yang masing-masing hadir untuk memberikan sokongan kepada penyanyi kesayangan.

Beberapa penonton bertuah juga berjaya mendapat pas percuma untuk AJL33 yang berlangsung Ahad ini, jam 9 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 11:40am
d