rap

Ifan jumpa gambar 20 minit sebelum tsunami

Oleh Norhayati Nordin

VOKALIS Seventeen, Ifan berkongsi perasaan syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT apabila menemui foto terakhirnya bersama arwah isteri tercinta, Dylan Sahara.

Foto yang dirakam sekitar 20 minit sebelum tragedi Tsunami Selat Sunda di Tanjung Lesung, Banten pada 22 Disember lalu adalah kenangan paling bermakna ditinggalkan Dylan buat Ifan.

Pada kapsyen foto itu, Ifan, 36, menulis Allah sekali lagi menunjukkan kuasanya.

"Di berbagai kesempatan aku selalu bercerita bagaimana isteriku menghampiriku untuk yang terakhir kalinya ke belakang panggung sebelum Seventeen manggung (buat persembahan) malam itu di Tanjung Lesung, untuk meminta dipeluk dan meminta dicium pipinya sambil bertanya pertanyaan yang selalu dia lontarkan ke aku, ‘kamu sayang ga sama aku? Kangen ga? Cinta ga?’.

"Sejujurnya ini hal yang sangat jarang dia lakukan (menghampiriku sebelum manggung) kerana isteriku tau, sebelum manggung aku lebih suka berkonsentrasi untuk melakukan pekerjaan bersama Seventeen," tulisnya.

Kongsi Ifan lagi, ya, musibah itu terjadi sekitar jam 10.10 malam 22 Disember 2018 lalu dan foto berkenaan diambil sekitar 20 minit sebelum kejadian.

"Melalui kuasanya, Allah menghantarkan sekotak kecil kad memori yang ternyata berasal dari kamera mas Andi.

"Ternyata sebelum kepergiannya pun mas @andi_seventeen masih sempat mengabadikan kami berdua lewat kamera yang sangat disayanginya itu.

"Ya Allah ya Tuhanku, terima kasih mas @andi_seventeen sudah memberikan kenang-kenangan yang begitu berharga. Ternyata kita punya foto terakhir kita sayang @dylan_sahara.

"Dan ternyata masih banyak video serta foto yang luar biasa di dalam kad memori itu. Foto dan video kenangan kebersamaan terakhir keluarga Seventeen," tulisnya.

Selain itu, Ifan yang kini popular dengan lagu Kemarin memberitahu, Insya-Allah semua foto dan video yang menjadi kenangan indah terakhir itu akan diabadikan dalam filem dokumentari perjalanan Seventeen.

Tulisnya lagi, semoga dilancarkan segala proses penerbitan filem itu demi kenangan terakhir dia bersama empat anggota Seventeen iaitu Bani selaku pemain bass, Yudhi (gitar), Herman (gitar) dan Andi (dram) yang turut terkorban dalam tragedi itu bersama Dylan.

Menerusi perkongsian dua foto dimuat naik sekitar dua jam lalu di Instagramnya (IG) iaitu bersama Dylan dan anggota Seventeen, sebanyak lebih 400,000 'likes' diterima daripada pengikutnya.

Manakala, sebanyak 5,207 komen berbaur ucapan semangat dan teruskan kecekalan hati menempuh dugaan Allah diterima Ifan atau nama sebenarnya Riefian Fajarsyah.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 11:23pm
d