rap

Ambil langkah selamat

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

Walaupun single pertama berjudul Siti Bilang Cuti ‘trending’ di YouTube, pelawak dan penyampai radio, Danial Zaini, 25, belum bersedia untuk fokus kepada bidang nyanyian.

Danial yang juga penyampai radio Era FM berkata, dia berasakan masih perlu menjadi penyampai radio kerana belum cukup kuat untuk berdiri sendiri ‘di luar’.

“Lagipun, kerjaya sebagai penyampai radio membantu saya terus bertapak. Saya percaya dengan terus menjadi penyampai radio akan menaikkan nama dalam industri hiburan,” katanya.

Juara program Lawak

Solo ini berkata, walaupun lagu pertamanya sudah meletup sehingga diminati peminat muzik di Indonesia, dia perlu mengambil langkah selamat.

Katanya, industri muzik di Malaysia tidak seperti di negara luar apabila penyanyi yang popular dengan sebuah saja lagu boleh terus jadi kaya.

Selain itu, dengan satu lagu saja yang popular tidak mungkin seseorang penyanyi itu akan bertahan dalam tempoh yang lama.

“Sebab itulah saya mahu pelbagaikan bakat dengan menjadi pelawak, penyanyi dan penyampai radio,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya sebagai pelawak solo yang agak malap, anak jati Pulau Pinang ini akui mahu berehat sekejap.

Katanya, pada masa ini dia mahu mencari rakan gandingan yang sesuai dan berkemungkinan muncul dengan kumpulan.

“Tengok dulu macam mana. Jujur saya cakap, nak jadi pelawak solo di Malaysia ini agak sukar.

“Pelawak solo susah sebab kerjaya itu bukan budaya biasa di sini kerana pendedahan kepada orang awam masing kurang,” katanya.

Bercakap mengenai impak lagu itu sehinggakan video muzik rasmi sudah mencatat lebih tiga juta tontonan sejak dilancarkan lewat tahun lalu, Danial sangat bersyukur.

Katanya, pada awal diberi peluang menyanyikan lagu ini oleh komposer, Harry Khalifah dan Peter Parker, dia dapat rasakan lagu itu tidak dimainkan di stesen radio apatah lagi di tempat dia bekerja.

Apatah lagi ada rakan penyampai yang bergelar penyanyi mengakui situasi itu sudah biasa berlaku sebelum ini.

“Saya sedar lagu ini mesti tiada stesen radio yang akan putarkan kerana bergelar penyampai tapi tidak sangka pula Era FM sudah putarkan.

“Pada mulanya, saya hanya sasarkan lagu ini akan diterima di platform digital saja,” katanya gembira dan berterima kasih kepada pihak stesen radio terbabit kerana memberi peluang itu.

Katanya, dia terus membawa lagu ini sehinggalah peminat bertanya mengenai single terbaharu pada masa depan.

Danial menyimpan impian untuk muncul dengan single bergenre slow rock pula, selepas ini.

Katanya, dia tidak mahu peminat mengikut kehendaknya sebaliknya mahu mengikut kehendak peminat kerana sedar diri dia bukan seorang ‘superstar’.

Dia yang baru saja bergelar artis di bawah pengurusan Datu Entertainment sejak hujung tahun lalu, tidak menolak untuk berlakon pada masa depan.

“Setakat ini ada satu dua tawaran cuma agak sukar untuk terima kerana jadual sebagai penyampai radio agak padat.

“Tapi kalau ada tawaran, saya ingin watak yang keluar dari landasan berlawak saja. Saya mahu pecahkan tanggapan masyarakat yang saya juga boleh jadi berlakon serius,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 11:52am
d