rap

Izzmad gigih demi impian

Oleh Ardini Sophia Sina

LIMA tahun dalam industri seni, sudah terlalu banyak cakap belakang yang Izzmad Harun dengar. Ada yang mempertikaikan bakatnya sebagai penyanyi, malah ada juga kurang yakin dia mampu berdiri sama tinggi dengan penghibur sedia ada.

Jujur, penyanyi berusia 23 tahun itu pernah terfikir untuk menoktahkan kembara seninya. Namun begitu, setiap kali teringat adiknya yang juga orang kelainan upaya (OKU), Izzmad kembali bersemangat meneruskan minatnya.

Kata Izzmad, dia memilih menjadikan nyanyian sebagai kerjaya bukan hanya kerana minat semata-mata, tetapi juga untuk menampung keperluan keluarganya di Teluk Intan, Perak.

“Saya tinggalkan adik yang mempunyai masalah saraf demi mengejar cita-cita sebagai penyanyi. Oleh itu, saya tidak boleh patah semangat dan perlu gigih berusaha mencapai impian. Saya lakukan semua ini demi keluarga.

“Saya akui, ada ramai yang depan cakap baik, tetapi belakang cakap buruk mengenai diri ini tetapi tidak mengapalah. Saya tidak peduli pun dengan perkara negatif sebegitu.

“Ada yang saya anggap sahabat, tetapi rupa-rupanya mereka cuba menindas saya. Apa pun, rezeki itu milik Allah. Kalau masanya sudah sampai, kejayaan pasti milik saya,” katanya.

Disember lalu, Izzmad tampil dengan lagu ke-11 berjudul Bisa Pertama. Menariknya lagu itu berbeza daripada single terdahulu kerana lebih mencabar vokalnya.

Izzmad berkata, dia sanggup lakukan apa saja bagi memperbaiki kelemahan diri. Malahan, dia juga mengikuti kelas vokal kendalian Hazami yang popular dengan lagu Sonata Musim Salju. Tidak hanya ingin meningkatkan mutu vokalnya, dia juga belajar bermain keyboard.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh bergelar penyanyi, Izzmad mengakui ada

perkembangan positif yang dirasainya. Walaupun bukanlah perubahan ketara, namun ia cukup menggembirakan hatinya.

Ditanya mengenai keterbukaannya menjadikan kontroversi sebagai salah satu cara melonjakkan nama di persada seni, Izzmad menolak menggunakan cara itu untuk dikenali.

“Syukur, sepanjang pembabitan dalam bidang ini, saya tidak dikaitkan dengan mana-mana kontroversi. Malahan, saya tidak mahu menggunakan cara sebegitu untuk naik kerana impak itu mungkin akan menjejaskan periuk nasi.

“Walaupun momentum kerjaya saya setakat ini agak perlahan, masih ada perkembangan positif. Apa pun, saya yakin doa keluarga akan membantu memajukan kerjaya saya,” katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 12:15pm
d