rap

'Jangan kritik guna kata kesat'

Oleh Ardini Sophia Sina

PENGACARA dan pelakon Eleena Sui meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir netizen yang menggunakan perkataan kesat tanpa rasa bersalah apabila mengkritik individu tertentu.

Menerusi Instastory, Eleena atau nama sebenarnya Nur Eleena Hamzah berkata, dia sama sekali tidak faham cara pemikiran segelintir rakyat Malaysia terutama golongan muda.

“Kenapa suka sangat guna perkataan kesat? Adakah ibu bapa mereka di rumah atau cikgu mereka yang harus dipersalahkan?

“Ketika saya masih kecil, apabila bapa dengar saya menggunakan perkataan ‘aku’ atau ‘engkau’ di rumah, memang akan kenalah selepas itu,” katanya.

Eleena berkata sedemikian bagi mempertahankan penyanyi Nabila Razali yang dikecam netizen memiliki suara bodoh dan hancur menerusi lagu baharunya berjudul Vroom Vroom.

Pelakon drama Suri Hati Mr Pilot itu turut berharap agar rakyat Malaysia menggunakan bahasa molek bagi melambangkan bangsa dan peribadi.

“Seandainya anda tidak mempunyai apa-apa yang baik untuk dikatakan, lebih baik kunci mulut anda. Elak daripada taip benda yang bukan-bukan.

“Sebarkan perkataan baik dan marilah berubah untuk menjadikan Malaysia lebih baik,” katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 8:55pm
d