rap

Bumiputra Rockers sediakan ambulans, paramedik

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KUMPULAN rock n roll Bumiputra Rockers (BPR) yang dianggotai Joey, 56, selaku vokalis, Awang, 55, (gitar), Yem Bai, 53, (bass) dan Enal, 58, (dram), mengambil pendekatan berhati-hati untuk beraksi dalam Konsert Silaturahim Bumi Putra Rockers di Kuala Lumpur pada 10 Mac nanti.

Joey berkata, ia dibuat berikutan Awang dan Enal ada masalah kesihatan yang kronik dan pernah dimasukkan ke hospital.

"Enal ada lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis manakala Awang pula masalah jantung dan lelah.

"Disebabkan itu kami merangka susunan muzik baru dalam persembahan itu nanti.

"Walaupun mengekalkan konsep rock, kami akan tampilkan persembahan yang memudahkan semua anggota," katanya pada sidang media.

Menurut Joey, mereka mengambil iktibar daripada kejadian menimpa Ustaz Radzi Melissa sehingga mengakibatkan kematiannya ketika beraksi di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur pada Disember lalu.

"Apa yang berlaku itu tak dapat dielakkan dan sudah ketentuan takdir.

"Memang itu ajal Ustaz Radzi dan kami turut bersedih.

"Bagi saya, Enal dan Awang bukan sakit biasa sebaliknya kronik. Saya sendiri pun ada masalah darah tinggi," katanya.

Konsert anjuran Koperasi Silaturahim Selangor Berhad (KOSIL) itu diadakan bagi mengumpul dana yang akan didermakan kepada ahli koperasi yang dianggotai bekas pelajar Sekolah Alam Shah (SAS), Kuala Lumpur antara tahun 1985-1989.

Ketua Pegawai Operasi Koperasi Silaturahim Selangor Berhad (KOSIL), Mohamad Nor Rusli, 47, berkata, pihaknya prihatin dengan tahap kesihatan anggota BPR dan akan melakukan persiapan selengkapnya.

"Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan, kami akan menyediakan ambulans dan paramedik ketika persembahan berlangsung," katanya.

Konsert Silaturahim Bumi Putra Rockers diadakan sempena ulang tahun ke-35 mereka dalam industri muzik tanah air. Bagaimanapun tempat Harun sebagai pemain gitar kini diambil alih oleh anggota wanita iaitu Helda, 28, yang pernah bersama kumpulan Butterfly.

"Kami sudah beberapa kali menghubungi Harun untuk terbabit dalam persembahan BPR.

"Dia tidak memberikan maklum balas dan kami anggap dia tidak berminat menjayakan konsert ini,” kata Joey.

BPR yang ditubuhkan pada 1985 popular dengan lagu Dari Sinar Mata, Harum Subur Dihati serta Seribu Tahun Takkan Mungkin.

Tiket untuk menonton berharga RM100 boleh didapati di www.bprticket.tk.

Konsert BPR akan diadakan di 11LA (The House), G Tower, Jalan Tun Razak.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 11:07pm
d